PELAKON Pekin Ibrahim menyifatkan dakwaan curang yang dilemparkan Nur Fazura terhadap bekas suaminya, Fattah Amin sebagai tuduhan berat.
Sebagai sahabat, Pekin atau nama sebenarnya Mohd. Iznan Ibrahim, 42, sepanjang di set penggambaran, tidak pernah sekali Fattah bercakap mengenai wanita lain atau jauh sekali mahu berlaku curang.
“Kami menjalani penggambaran dalam tempoh yang lama. Tidak sekali pun saya nampak Fattah gatal atau bercerita hal wanita.
“Sampai waktu solat, dia hanya minta rehat untuk tunaikan kewajipan. Sebagai kawan aku rasa tuduhan itu berat buat dia,” tulis Pekin menerusi hantaran di Facebook.
Cerita Pekin lagi, Fattah kerap meluahkan perasaan rindu kepada isteri dan anaknya, Nur Fatima Aisya.
“Sepanjang luangkan masa bersama, tidak sekali pun dia menunjukkan masalah pada wajahnya.
“Dia tidak sekalipun bercerita hal peribadi, hanya rindu anak dan isteri sahaja terkeluar dari mulut dia. Jauh sekali tuduhan dia ada wanita lain,” katanya.
Walaupun rumah tangga pelakon itu sedang bergolak, Pekin memuji sikap Fattah, 34, yang tetap tenang dan profesional sepanjang bekerja.
Pada masa sama, Pekin yang juga suami kepada pelakon Mona Allen itu turut mendoakan agar sahabatnha itu diberi kekuatan berdepan dugaan besar dalam hidupnya.
Malah, dia juga berharap hal perceraian yang berlaku itu tidak terjadi dalam rumah tangganya.
“Apa yang mampu, kita doa supaya dia tabah dan kuat.
“Sedih dengar hal-hal cerai begini. Minta dijauhkan,” ujarnya.
Terdahulu selepas bercerai, Fazura mendedahkan Fattah berlaku curang dan culas memberi nafkah yang menjadi punca dia memfailkan perceraian.
Begitupun, bintang filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu menyangkal semua dakwaan berkenaan sekaligus menganggap tuduhan dilemparkan bertujuan mengaibkan dirinya.
Selepas tujuh tahun bergelar suami isteri, Nur Fazura, ,41, dan Fattah,34, sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, pukul 9.45 pagi semalam.
Untuk info, Fattah dan Fazura berkahwin pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.