Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Naim Mokhtar. GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN menerusi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang mengambil langkah untuk memperkukuh sistem perundangan dan kehakiman syariah secara komprehensif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah tersebut meliputi aspek penggubalan, penyemakan dan pindaan undang-undang syariah, penstrukturan Mahkamah Syariah, penyediaan latihan komprehensif bagi meningkatkan kompetensi hakim dan pegawai di Mahkamah Syariah.

Pada masa sama, beliau berkata, hal ehwal berkaitan pendakwaan syariah, penguatkuasaan syariah serta guaman syarie perlu turut diperkukuh terlebih dahulu untuk memperkasa sistem kehakiman syariah.

“Kerajaan MADANI melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa mendukung agenda pengukuhan institusi perundangan dan kehakiman syariah dengan meletakkan ia sebagai salah satu fokus dalam Pelan Transformasi Al-Falah Tahun 2023-2027.

“Kesemua usaha yang diambil ini sebelum dilaksanakan akan melalui proses sewajarnya termasuk merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel lain: Lebih banyak pembaikan struktur ekonomi diperkenal dalam Belanjawan 2025 – PM

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam wawancara bersama wartawan Mehdi Hasan yang disiarkan di portal rasmi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), menegaskan tentang kepentingan memperkukuh perpaduan dan toleransi dalam kemajmukan masyarakat selain memastikan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran.

Malah, ketika ditanya mengenai undang-undang hudud di Malaysia, Anwar telah memberikan maklum balas bahawa ia memerlukan konsensus dan keutamaan sekarang adalah memastikan keamanan serta keselamatan masyarakat.

Mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Mohd Na’im menyifatkan apa yang diungkapkan Anwar dalam isu tersebut adalah tepat dan berasas.

Kata beliau, ia mengambil kira Fiqh Al-Waqi’ (fiqh realiti) serta Fiqh Al-Awlawiyyat (keutamaan).

“Perdana Menteri dengan tegas menyebut tentang kepentingan memperkukuh perpaduan dan toleransi dalam kemajmukan masyarakat selain memastikan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran.

“Selain itu, apabila diwawancara tentang undang-undang hudud di Malaysia, Perdana Menteri telah memberi maklum balas bahawa ia memerlukan konsensus.

“Walau bagaimanapun, keutamaan sekarang adalah untuk memastikan keamanan dan keselamatan masyarakat,” jelasnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram