KETIKA kisah cerai pelakon Fattah Amin dan Nur Fazura hangat diperdebatkan, muncul pula sebuah video yang memaparkan kelibat aktor itu duduk seorang diri di tangga sebuah surau.

Klip video yang tular di TikTok itu dirakam oleh pengguna akaun media sosial ketika aktor itu masih lagi berstatus suami kepada Fazura.

“Waktu terserempak kat surau ini, dia (Fattah) memang tengah ada masalah rumah tangga.

“Jodoh, ajal, maut, semuanya di tangan Tuhan. Semoga Fattah dan Fazura kuat dengan ujian ini,” tulis pemilik video berkenaan.

Menerusi rakaman video terbabit, Fattah dilihat sedang duduk sambil melihat telefon bimbitnya.

Menerusi pemerhatian URTV di ruangan komen video terbabit, netizen menzahirkan simpati terhadap Fattah yang juga bintang filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu. 

“Artis lain bercerai aku tak ambil kisah pun, bila Fattah hati tu terasa sangat sedihnya.

“Rugi lepaskan lelaki yang jaga solat.

“Memang duit penting tapi nak cari lelaki yang jaga solat lima waktu susah. Makin kita dekat dengan Allah, makin berat ujian nak tengok kita dapat bertahan atau tidak,” komen netizen.

Sejak berita perceraian mereka tular, ramai memberikan sokongan kepada Fattah termasuk rakan artis yang meminta agar bekas isterinya berhenti membuka aib.

Terdahulu, Fazura memfailkan perceraian pada 13 September dan sebutan pertama permohonan itu ditetapkan pada 25 September lalu.

Namun berikutan adanya dokumen perbincangan untuk dipersetujui bersama-sama, Fattah tidak melafazkan cerai selain mengakui masih sayangkan isterinya.

Ikatan yang dibina tujuh tahun dengan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Aisya Fatima, 4, akhirnya terlerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Shah Alam  pada pukul 9.45 pagi semalam di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh.