Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. GAMBAR: Abd Razak Aid

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mula menjalankan siasatan terhadap aset GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di luar negara selepas mengenal pasti 23 harta milik syarikat itu di 10 negara dengan anggaran nilai RM52.4 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis masih menunggu maklum balas daripada sembilan negara lain yang dipercayai GISBH turut menjalankan operasi di rantau Asia Tenggara, Eropah dan Timur Tengah.

Beliau berkata sebelum ini dimaklumkan sebanyak 19 negara yang ada premis GISBH.

“Kita juga minta bantuan melalui Polis Antarabangsa (INTERPOL), pihak berkuasa negara terbabit dan agensi berkaitan. Kita memperoleh maklumat terdapat tiga premis di sebuah negara telah berhenti beroperasi dengan papan tanda sudah diturunkan malah tingkap dan pintu ditutup dengan plastik hitam.

“Kita belum dapat maklumat tentang ahli-ahli mereka di negara tersebut jadi itu ialah siasatan seterusnya yang akan kita susun,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Shuhaily berkata siasatan aset dan harta GISBH dalam negara pula, polis telah melaksanakan pembekuan dan penyitaan pelbagai harta masing-masing bernilai RM17,045,095.40 dan RM2,862,450.

Katanya tindakan pembekuan dilakukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 manakala sitaan mengikut Seksyen 45(2) akta sama, menjadikan jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan berjumlah RM19,907,545.40.

Dalam pada itu, katanya siasatan terhadap GISBH adalah telus kerana membabitkan proses perundangan terperinci yang dilaksanakan oleh polis dan sistem kehakiman dan tidak wajar dibandingkan dengan tindakan terhadap sebuah gerakan agama pada 1994.

“Masa 1994 kita ada undang-undang pencegahan yang kita tidak perlu pergi kepada sistem kehakiman. Sekarang semua tangkapan kita bawa dalam sistem perundangan terbuka, harus dicari bukti, harus dibawa kepada majistret untuk dapat perintah tahanan lanjut, dan seterusnya.

“Prosedur itu sangat telus dan pihak polis menguatkuasakan undang-undang dengan peruntukan yang sememangnya diperuntukkan untuk kami kuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendapat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah wawancara yang mengatakan tindakan polis terhadap GISBH adalah terlalu keras.

Mohd Shuhaily berkata terdapat bukti seperti disebut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bahawa perniagaan GISBH dimudah cara dengan kefahaman tarekat Aurad Muhammadiah, yang telah difatwakan sebagai ajaran sesat sebelum ini.

“Proses undang-undang semakin matang dan saya harap masyarakat akan semakin faham proses ini. Polis akan meneruskan siasatan dan tanggungjawab kami sepenuhnya mencari bukti untuk dibawa kepada Pendakwa Raya yang akan mengkaji dan mengesyorkan tindakan seterusnya,” katanya.
– BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram