SEORANG wanita yang merempuh dua motosikal hingga menyebabkan kematian tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun malam semalam, direman empat hari bermula hari ini. GAMBAR: BERNAMA

SEORANG wanita yang merempuh dua motosikal sehingga meragut nyawa tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun pada Rabu disahkan tidak pernah menerima rawatan kesihatan mental di Terengganu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, semakan mendapati tiada rekod rawatan kesihatan mental wanita tersebut ditemui di mana-mana fasiliti kesihatan negeri setakat ini.

“Bagaimanapun, kita tidak pasti sama ada wanita tersebut ada mendapat rawatan mental di negeri lain,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

UtusanTV sebelum ini melaporkan, dalam kejadian hari Rabu pukul 7.20 malam, Honda CRV dipandu seorang wanita telah merempuh dua motosikal yang dinaiki empat pelajar dari arah belakang.

Rempuhan itu menyebabkan tiga pelajar iaitu Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dari Muar, Johor; Ku Adib Ku Azmi, 20, dari Sungai Buloh, Selangor dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor maut di tempat kejadian.

Sementara seorang pelajar yang dikenali sebagai Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, mengalami kecederaan pada bahagian belakang dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Ketika kejadian, semua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampus selepas makan malam di sebuah kedai tidak jauh dari tempat kejadian.

Susulan kejadian itu, polis menahan pemandu SUV berusia 49 tahun dan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu membenarkan reman selama empat hari sehingga Ahad.

Suri rumah yang mempunyai tiga anak itu dipercayai mengalami masalah mental.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram