Zhang Yuhua dan isterinya, Song Qinghuan merupakan pasangan yang tinggal di Liaocheng di wilayah Shandong, China. Asalnya, pasangan ini hidup normal dan bahagia.
Namun, pada tahun 2001, si isteri telah terlibat dalam kemalangan sehingga koma untuk seketika. Setelah sedar daripada koma, keadaan Qinghuan tidak normal seperti sebelumnya.
Qinghuan tidak mampu untuk kembali bergerak seperti biasa. Disebabkan itu, wanita ini banyak menghabiskan masa di atas kerusi roda dan dibantu oleh suaminya.
Apa yang menyentuh hati, selama tempoh bertahun-tahun selepas kejadian itu, Zhang Yuhua masih terus setia menjaga dan melayani isterinya dengan baik walaupun keadaan sudah berubah.

Suatu hari, Qinghuan memberitahu suaminya bahawa dia bermimpi berjaya mendaki puncak Gunung Tai yang terletak bahagian utara bandar Tai’an. Puncak gunung itu merupakan puncak tertinggi di wilayah Shandong,
Namun, pergerakannya yang terbatas akibat kesan kemalangan menimbulkan kesukaran untuk Qinghuan bagi melunaskan mimpinya itu. Namun, Yuhua pula sentiasa memberi kata-kata semangat dan berjanji akan membantu isterinya menggapai impian berkenaan.
Apa yang dilakukan oleh si suami ini? Setiap hari, Yuhua akan memikul beg pasir seberat 10 kilogram sebagai latihan. Teknik itu bertujuan untuk membiasakan dirinya mendukung Qinghuan bagi menempuh perjalanan yang sukar untuk mendaki kelak.

Yuhua terus memikul beg pasir itu sehinggalah tiba hari mereka mendaki ke puncak gunung tersebut pada bulan Oktober 2017. Menurut sumber media di sana, pasangan suami isteri ini telah menunggu selama 17 tahun untuk merealisasikan impian mereka untuk sampai ke puncak gunung itu.
Pada penghujung Oktober 2017, Qinghuan duduk di atas kerusi roda seperti biasa. Manakala, Yuhua akan mendukung isterinya menggunakan tali yang siap dipasang di belakang alat kerusi berkenaan. Meskipun bahunya memikul insan kesayangan, namun dia masih dibantu oleh rakan-rakan lain.
Bukan mudah untuk melalui perjalanan tersebut. Biarpun tidak bergerak secara terus kerana sering berhenti rehat buat seketika, namun mereka tetap berusaha sebaik mungkin untuk sampai ke destinasi.

Akhirnya, selepas lapan jam aktiviti mendaki dilakukan, pasangan ini tiba di Zhongtianmen. Kawasan ini terletak di tengah jalan menuju ke Gunung Tai. Setelah itu, mereka menaiki kereta kabel dari Nantianmen untuk sampai ke puncak yang berketinggian 1,533 meter.
Walaupun sukar, ternyata pasangan ini mampu membuktikan kepada orang ramai bahawa tiada apa yang mustahil apabila berusaha bersungguh-sungguh.
Pengalaman tersebut bukan saja melambangkan keberanian, malah turut membuktikan kesetiaan dan kasih sayang yang tidak pernah pudar. Sifat itu dilihat jelas oleh umum terutama selepas mengetahui keadaan Qinghuan dan menyaksikan kesungguhan Yuhua.
Kisah pasangan ini mendapat perhatian media dalam dan luar negara ketika itu. Kesetiaan seorang lelaki terhadap isterinya yang kurang upaya menjadi inspirasi kepada masyarakat umum.

Setahun kemudian, pada Julai 2018, satu lagi pasangan dari China telah melakukan aktiviti sama di lokasi berbeza. Wang Xiaomin mendukung isterinya yang disahkan mengalami penyakit motor neuron untuk mendaki Gunung Hua di wilayah barat laut Shaanxi.
Bukan itu saja, dia juga membawa isterinya berjalan ke tempat-tempat lain selepas didiagnosis dengan penyakit tersebut lima tahun sebelumnya.
Meskipun pakar tidak dapat mengesahkan isterinya kembali sembuh, namun Xiaomin tetap berjani akan setia sehingga ke hujung hayat. Baginya, peluang yang ada digunakan sehabis baik untuk terus menghiburkan isterinya.

_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

