Pertengahan tahun 1990, saya bekerja di sebuah kilang di Segamat, Johor. Pada zaman itu, tidak banyak kilang yang ada. Kilang tempat saya bekerja merupakan antara salah sebuah kilang yang terawal bertapak di bumi Segamat.

Pada masa itu, bos saya adalah satu-satunya anak Melayu yang memegang jawatan tertinggi di kilang tersebut. Namanya En. Imran. Memandangkan En. Imran berjawatan Pengurus Kilang, jadi segala hal ehwal pekerja adalah termasuk dalam skop tugasannya. Saya pula adalah setiausahanya.

En. Imran ini memang tidak percaya langsung kepada perkara-perkara ghaib. Dia sangat patriotik dan realistik, tetapi mengambil mudah dalam hal-hal agama.

Ketika itu, tempat kerja kami selalu berlaku kejadian histeria. Pening kepala pihak pengurusan sebab hampir setiap minggu ada sahaja kejadian histeria berlaku. Gejala ini akan dimulai dengan penghidapnya meracau-racau, diikuti dengan menjerit-jerit dan perbuatan yang agresif seperti berlari ke sana sini, memukul serta menendang sesiapa sahaja yang cuba memegang mereka dengan tenaga yang luar biasa.

Histeria itu pula berjangkit kepada orang yang lemah semangat. Bayangkan kalau tiga atau empat orang berperangai di luar kawalan dalam tempoh masa yang sama. Memang huru-hara jadinya!

Berbagai-bagai cara, termasuk membuang ancak turut dilakukan oleh pihak pengurusan syarikat yang berbangsa asing dengan tujuan untuk menghalau syaitan supaya jangan mengacau para pekerjanya. Tetapi histeria tetap juga berlaku.

Orang yang paling sibuk dalam menangani gejala histeria ini sudah semestinya En. Imran. Dia akan pergi kepada pekerja tersebut dan memanggil mereka dengan suara yang lantang, kemudian bertanya apa yang berlaku.

Tanpa menunggu jawapan, tangan En. Imran akan terus menempeleng muka pekerja tersebut sehingga sedar. Setelah sedar, biasanya pekerja itu akan bercerita berbagai-bagai peristiwa seram yang menjadi punca mereka ketakutan sehingga tidak dapat mengawal diri.

Antara cerita yang saya dengar ialah kewujudan lembaga-lembaga menakutkan yang mengekori dan menyakat mereka seperti bersenggayut di bahu, berdiri di sebelah, memerhati dari jauh, mengintai dari belakang peralatan kilang dan macam-macam lagi.

Namun saya tidak nafikan, ada juga histeria yang berlaku akibat gangguan emosi kerana masalah peribadi seperti sudah termengandung sebelum nikah, masalah kewangan dan krisis keluarga.

Perkara paling menjengkelkan En. Imran ialah apabila para pekerjanya takut kepada hantu syaitan. Macam-macam hujah diberikannya bagi mematahkan ilusi seram yang digambarkan oleh para pekerja.

En. Imran mahu semua pekerjanya ditanam dengan sifat berani dan tidak lemah semangat. Semua kisah hantu adalah bersifat tahyul sahaja bagi En. Imran, sehinggalah terjadinya kisah ini…

SAYA MASIH INGAT, hari itu En. Imran memberitahu isteri dan anak-anaknya balik ke kampung mereka di Muar, Johor. Petang, mereka akan pulang semula ke Segamat.

Pagi itu, En. Imran pergi kerja berjalan kaki sahaja kerana kereta dibawa oleh isterinya. Lagi pun rumah sewa En. Imran cuma lebih kurang satu kilometer sahaja dari kilang.

Hari itu, oleh kerana semua ahli keluarganya tiada di rumah, En. Imran sengaja balik lambat dan bekerja lebih masa bersama beberapa orang pekerja lain termasuk saya.

Sekitar pukul 8.30 malam kami pun berkemas untuk balik. Saya ada mempelawa En. Imran menumpang kereta saya, tapi En. Imran menolak. Katanya, dia mahu berjalan kaki sahaja.

Setibanya En. Imran di rumah, Aizat, anaknya yang berumur lima tahun dilihat sedang berdiri di tingkap bilik tidurnya di tingkat dua dan memandang ke arah papanya itu.

Sebaik memasuki ruang tamu, En. Imran memanggil Aizat dan anaknya itu turun sambil menundukkan muka. Fikir En. Imran, Aizat mungkin merajuk atau keletihan, lantas dia mendukung anaknya itu. Namun dirasakan badan anaknya tu sangat sejuk, berat dan busuk.

”Aduh! Beratnya anak papa ni. Pergi mandi,” ucap En. Imran mesra sambil meletakkan Aizat ke lantai dan mengusap-usap kepala anaknya itu.

Aizat berpaling dan kemudian berlari naik ke bilik atas tanpa sepatah kata dan tidak lama kemudian, kedengaran bunyi orang mandi. En. Imran yang keletihan terus duduk di sofa dan menonton televisyen.

Beberapa ketika kemudian, tanpa dipinta, Kak Hasnah, isteri En. Imran datang membawa kopi panas. Dia kemudian berdiri di belakang suaminya dan memicit-micit bahu dan tengkuk En. Imran.       

Sebagai penghargaan, En. Imran membelai tangan isteri yang memicitnya, tetapi anehnya tangan itu dirasakan begitu sejuk, sama seperti tubuh anaknya tadi. En. Imran berasa pelik. Belum sempat dia bertanya, tiba-tiba telefon rumah yang berada di atas meja di sampingnya berbunyi.

”Assalamualaikum abang… dah sampai kat rumah ke? Maaflah siang tadi saya tak sempat telefon abang. Saya dan anak-anak mungkin akan tidur di kampung sebab mak tak sihat ni. Abang jaga diri, ya!” kedengaran suara Kak Hasnah di telefon.

Berderau darah En. Imran. Tekaknya terasa kering dan lututnya lemah. Kalau isterinya itu berada di kampung, siapa pula yang sedang memicitnya? Dan siapa yang menyerupai seperti anaknya tadi?

Jantung En. Imran bagaikan hendak pecah, terlalu takut, hingga lupa segala ayat suci yang biasa dihafaznya. Tapi, dia sempat menelefon saya dan berkata “Datang rumah saya sekarang!”

Jam sudah hampir pukul 12.00 malam, kebetulan saya dan kawan-kawan serumah belum tidur lagi kerana esok hari Ahad dan kami bercadang hendak menonton video.

Apabila mendapat panggilan En. Imran itu, timbul rasa pelik di hati saya. Kenapa malam-malam buta dia suruh saya datang ke rumahnya?

Saya minta empat orang kawan serumah untuk sama-sama menemani  saya ke rumah En. Imran. Selain itu, kami juga mengajak dua orang staf lelaki yang tinggal berdekatan untuk turut serta.

Sampai kami di pintu pagar, puas kami memberi salam tetapi tiada jawapan. Saya cuba menelefon En. Imran, tapi tidak diangkat. Pelbagai andaian buruk mula muncul di fikiran kami. 

Kamal dan Fendy, dua staf lelaki yang ikut bersama segera memanjat pagar bagi meninjau keadaan dan melaungkan salam. Apa yang mereka dengar hanya bunyi “Aaahhh! Aaahhh!” sahaja.

“Itu macam suara En. Imran!” kata Kamal sambil membuka pintu pagar untuk membolehkan saya dan kawan-kawan lain masuk.

Kami berulang-ulang kali mengetuk dan memberi salam tetapi hanya disambut dengan bunyi “Aaahhh!” sahaja. Itu pun sekali sekala.

Justeru itu kami berpakat untuk mengumpil pintu gelongsor (sliding door) rumah En. Imran, namun tidak berjaya kerana seolah-olah ada batu yang  menghalangnya daripada terbuka.

Kami berasa cukup bimbang. Kamal melaungkan azan dan kami semua membaca ayat-ayat suci yang termampu diingat.

“Allah…! Allah..!” kedengaran suara En. Imran, lemah.

Kami terperanjat kerana sebaik azan tamat, pintu terbuka dan En. Imran terjongol dalam keadaan merangkak, lemah dan bermandi peluh.

Apa yang terjadi? Kenapa En. Imran jadi sampai begini? Pelbagai soalan kami ajukan, namun En. Imran tidak mampu menjawabnya. Dia terlalu letih. Badannya menggeletar, mukanya pucat bagaikan tidak berdarah. 

Kami membawa En. Imran keluar dan merehatkannya di kerusi kereta. Kebetulan di dalam kereta saya memang ada sentiasa ada sebekas air, lalu air itu kami berikan kepada En. Imran untuk diminum dan membasuh mukanya.

Apabila keadaannya mula reda, barulah En. Imran mampu bercerita. Rupa-rupanya, selepas menerima panggilan telefon dari isterinya dan setelah menelefon saya, En. Imran ingin bangun dari kerusi dan berlari keluar, namun tangan sejuk itu telah menekan bahunya dengan kuat sekali.

Dia cuba meronta, tetapi tubuhnya bagaikan terpaku di kerusi. Tangan itu terus memicit dan menekan bahunya dengan kuat bagi menghalangnya daripada bangun. En. Imran ingin menyebut Allah tetapi lidahnya kelu. Yang kedengaran hanya “Aaahhh”sahaja.

Makhluk yang menyerupai anaknya dilihat berdiri di tangga dalam keadaan basah kuyup sambil memerhati En. Imran yang terkial-kial untuk bangun dengan wajah yang menakutkan!

Hanya setelah laungan azan dari Kamal serta alunan ayat-ayat suci dari kami menyebabkan makhluk itu lenyap dan keadaan pulih seperti sedia kala.

En. Imran mereka-reka cerita? Tidak mungkin. Selama ini dia tidak percaya kepada kewujudan hantu, jadi, kenapa dia hendak mengada-adakan cerita pula?

Lagi pun kami melihat sendiri beberapa kesan lebam pada bahunya seolah-olah dicengkam dengan kuat. Bilik air di tingkat atas masih terbuka paipnya.

Separuh daripada tangga sehingga ke bilik air juga basah seperti ada orang yang keluar dari bilik air dalam keadaan lencun dan turun sehingga separuh anak tangga. Cawan yang bersisa air berbau busuk turut ada di atas meja!

EN. IMRAN SAKIT hampir dua minggu setelah kejadian itu. Kamal telah meminta bapa saudaranya yang merupakan seorang ustaz datang untuk membantu memulihkan semangat En. Imran dan memagar rumah bos saya itu dengan ayat-ayat suci.

Apabila En. Imran bekerja semula, persepsinya terhadap histeria terus berubah. Pendekatan ke arah kerohanian lebih diberi kepada pekerja dengan memanggil beberapa orang penceramah dari majlis agama Islam untuk memberikan ceramah pada hari minggu.

Hasil daripada usaha yang berterusan, gejala histeria jarang lagi berlaku di kilang dan peristiwa aneh di rumahnya tidak lagi berlaku.

En. Imran mengakui kepada kami tentang betapa culasnya dia dalam mengamalkan ajaran Islam sehingga syaitan mudah sangat menguasai jiwa dan kehidupannya. Manalah ada manusia yang boleh hidup dengan angkuh atas kelebihan yang Allah pinjamkan sahaja.

”Mungkin saya takbur sangat terhadap pekerja dan selalu memandang remeh apa yang mereka lalui sehinggalah Allah menguji saya dengan peristiwa ini…” itu kata-kata pernah dilontarkan En. Imran kepada saya dan beberapa orang staf yang membantunya dahulu.

*Diceritakan oleh Lia dari Johor.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram