empat waktu sunat istighfar

Sebagai manusia kita sememangnya tidak akan terlepas dari melakukan dosa sama ada yang kita sedari atau tidak. Justeru itu kita perlulah banyak beristighfar kepada Allah, iaitu memohon ampun kepada Nya di atas segala dosa dan kesilapan yang telah kita lakukan.

Nabi Muhammad s.a.w. yang kita tahu bahawa Allah telah mengampunkan dosanya yang telah lalu atau akan datang pun tidak pernah meninggalkan istighfar apatah lagi kit aini manusia biasa. Di dalam sebuah hadis diceritakan bahawa Baginda s.a.w. beristighfar lebih daripada 70 kali sehari sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada Nya setiap hari lebih daripada 70 kali” (HR Bukhari)

Maka itu kita disyariatkan beristighfar setiap waktu dan di mana sahaja namun terdapat beberapa waktu dan keadaan yang lebih diutamakan untuk beristighfar antaranya:

Pertama: Setelah menunaikan ibadat

Disyariatkan beristighfar setelah selesai solat lima waktu. Amalan ini sering dilakukan Nabi s.a.w. setelah selesai mengucap salam dalam solat wajib. Baginda mengucap istighfar tiga kali. Ini kerana seorang hamba selalu mengalami kekurangan dalam solat disebabkan lalai dan sifat lupa. Maka lazimkanlah beristighfar

Kedua: Waktu sahur

Waktu sahur atau waktu pagi sebelum fajar adalah masa yang terbaik untuk beristighfar kerana Allah akan memakbulkan doa, memberi kepada orang yang meminta dan mengampuni orang yang memohon keampunan. Di dalam al-Quran dijelaskan mengenai mereka yang kekal di dalam syurga,

“…(iaitu) orang-orang yang sabar yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun waktu sahur” (Ali Imran: 17)

Manakala Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Allah turun setiap malam ke langit dunia pada saat tersisa sepertiga malam terakhir lalu berfirman, “Siapa yang berdoa kepada Ku, Aku akan mengabulkannya. Dan siapa yang meminta kepada Ku, Aku akan memberinya, serta siapa yang meminta ampunan kepada Ku, Aku akan mengampuninya”

Ketiga: Di akhir majlis

Ini juga adalah amalan yang sering dilakukan Rasulullah s.a.w. Saidatina Aisyah r.ha meriwayatkan,

“Tidaklah Rasulullah s.a.w. berdiri dari suatu majlis melainkan beliau mengucapkan Maha Suci Engkau ya Allah! ya Rabku. Dan dengan sentiasa memuji Mu tiada Ilah (yang berhak diibadahi) selain Engkau. Aku memohon ampunan kepadamu ya Rabku dan bertaubat kepada Mu”

“Maka aku pun bertanya, “Wahai Rasulullah! engkau sering mengucapkan kalimah-kalimah tersebut tatkala engkau berdiri (dari majlis)”

“Baginda bersabda, “Tidaklah salah seorang mengucapkannya semasa berdiri dari majlisnya, melainkan diampuni dosa yang dilakukan di dalam majlis tersebut”

Sebab itulah setelah selesai sesuatu majlis, terutama yang banyak ucapan dan pembicaraan digalakkan beristighfar

Keempat: Istighfar untuk orang meninggal dunia

Rasulullah s.a.w. juga menganjurkan istighfar untuk orang yang telah meninggal dunia. Setelah menguburkan jenazah, Baginda berdiri di sisinya dan bersabda,

“Mintalah keampunan untuk saudaramu, dan pohonkanlah baginya keteguhan, sebab saat ini dia sedang disoal”

Baginda juga memohon istighfar apabila menziarahi orang meninggal dan berdiri di tepi kubur. Wallahu a’lam 

_______________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram