PENYANYI Tomok dan Siti Nordiana bakal berkongsi pentas menerusi konsert Memori Mungkin Berulang selepas lebih 20 tahun dalam industri muzik tanah air.

Konsert gabungan itu bakal berlangsung pada 1 Februari 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

Tomok yang juga penganjur konsert di bawah syarikatnya POPSICLE RECORDS amat berbesar hati kerana kali pertama bergabung dengan Siti Nordiana untuk mengimbau memori lama mereka yang memulakan karier nyanyian sejak di bangku sekolah.

“Pelbagai kejutan akan dipersembahkan sepanjang konsert ini berlangsung terutama lagu-lagu hits kami akan dinyanyikan sama ada saya mahupun Nana (Siti Nordiana). Sepanjang kami bergelar penyanyi, ini kali pertama kami berkolobarasi demi peminat.

“Konsert ini juga akan kami mengimbau kenangan lagu Nana duet bersama dengan Allahyarham Achik yang akan dinyanyi oleh saya. Saya yakin lagu-lagu hits seperti Memori Berkasih, Resipi Berkasih dan Gurauan Berkasih akan ditunggu-tunggu oleh semua peminat.

“Harga tiket ditawarkan juga amat berpatutan dan saya yakin peminat kami berdua mampu memilikinya dan menyokong konsert kami ini. Kami akan berikan persembahan terbaik dan tidak merugikan wang anda,” katanya.

Sementara itu, Siti Nordiana bersetuju untuk menjadi rakan konsert Tomok selepas menerima pelawaan yang berhajat untuk menganjurkan konsert bersamanya.

Ia satu peluang tidak wajar disia-siakan kerana ini antara hadiah terbaik buat peminatnya yang terus menyokong karier kami dari sejak awal 2000 hingga sekarang.

“Memilih lagu duet kami iaitu Memori Mungkin Berulang sebagai teraju utama konsert ini kerana ia amat sinonim dengan saya dan juga Tomok. Dulu saya amat dikenali dengan Achik kerana kerap tampil dengan lagu-lagu duet yang menaikkan nama kami berdua.

“Saya juga tidak menyangka lagu duet dengan Tomok diterima ramai dan sekali lagi mencetuskan fenomena baru untuk industri muzik masa kini yang dikelilingi generasi Z. Apa-apa pun saya bersyukur kerana lagu Memori Mungkin Berulang diterima di luar jangka terutama kepada anak-anak muda,” jelasnya.

Tiket Konsert Memori Mungkin Berulang akan mula dijual  28 Oktober 2024 dengan harga permulaan RM98, RM198, RM298, RM398, RM498 dan VIP BOX RM5000. Tiket boleh dibeli menerusi dalam talian iaitu di Ticket2u.