PELAKON Nur Fazura dengan bekas suaminya, aktor Fattah Amin selesai merekodkan persetujuan berkaitan nafkah idah dan anak perempuan mereka iaitu Nur Fatima Aisya.

Peguam syarie mewakili Fazura iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, urusan tersebut dilakukan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam hari ini.

“Ya, urusan rekodkan persetujuan berkaitan idah dan nafkah anak selesai hari ini.

“Rekod tersebut adalah seperti yang telah dipersetujui oleh mereka berdua dalam proses perceraian pada Oktober lalu,” katanya.

Malah, Fazura juga telah memfailkan tuntutan berhubung kes hadanah atau hak penjagaan anak terhadap Fattah.

Perbicaraan berkaitan tuntutan tersebut juga dijangka berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

“Tentang hadanah juga telah difailkan dan akan dibicarakan pada tarikh yang ditetapkan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Fazura dan Fattah sah bercerai talak satu pada 7 Oktober lalu selepas aktres itu memfailkan perceraian pada 13 September lalu.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.