Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu GAMBAR: Abd Razak Aid

MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan ke atas Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Beliau juga menegaskan kementeriannya tidak akan masuk campur dalam urusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.
“Kita tidak mahu lagi amalan menyakau terus berleluasa dalam mana-mana agensi atau badan di bawah pentadbiran kementerian.

“Kita mahu NAFAS pada masa akan datang menjadi sebuah pertubuhan yang benar-benar memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kepada lebih 600,000 ahlinya,” katanya seperti dilapor Berita Harian

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kebangsaan Kumpulan Pengguna Air (KPA) 2024 di Vivatel Hotel, hari ini.

Pada 29 Oktober lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi sebuah pertubuhan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Dan pada 1 Oktober lalu, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Amir Matamin mengumumkan penggantungan Perlembagaan NAFAS berkuat kuasa hari sama bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu.

Mengulas lanjut, Mohamad berharap semua pihak terbabit tidak bimbang dengan operasi NAFAS sepanjang tempoh penggantungan kerana ianya kini diuruskan oleh pentadbir yang mahir.

“Justeru, saya menggesa supaya semua sama-sama memastikan NAFAS bersih daripada penyalahgunaan dan penyelewengan kuasa,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram