Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin. GAMBAR: Facebook Dr. Maza

MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memfailkan saman terhadap seorang pemilik akaun Facebook atas dakwaan menerbitkan beberapa pernyataan fitnah yang mengaitkannya dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Mohd Asri yang turut dikenali sebagai Dr Maza selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Okt lepas menerusi Tetuan Faizal Rahman & Co dengan menamakan Mohd Nawawi Abdul Razak sebagai defendan.

Pengurusan kes saman itu ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ong Yen Li pada 11 November ini secara e-review.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd Asri yang juga pensyarah mendakwa Mohd Nawawi telah menerbitkan empat pernyataan fitnah dalam Facebook atas nama Mohd Nawawi Abd Razak pada 20 September lepas, yang boleh diakses oleh masyarakat umum.

Plaintif mendakwa pernyataan-pernyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau merupakan sebahagian daripada pemimpin atau penyokong Gerakan GISBH, mempunyai hubungan akrab dan membenarkan perbuatan khurafat dilaksanakan kerana mendapat ganjaran daripada GISBH.

Mohd Asri juga mendakwa penerbitan pernyataan fitnah itu berniat untuk menghina beliau dan ia adalah tidak benar, bertujuan menimbulkan persepsi oleh masyarakat terhadapnya.

Baca artikel lain: 7 modul silibus pemulihan akidah pengikut GISBH sedang dibangun – Mohd Na’im

Dakwa plaintif, tindakan defendan mengaitkannya dengan GISBH yang diketahui umum mempunyai kepercayaan atau ajaran mengandungi unsur sesat memberi gambaran bahawa beliau menyokong atau terlibat dengan aktiviti yang tidak selari dengan Islam.

Sehubungan dengan itu, plaintif memohon defendan membayar ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan sebanyak RM10 juta, ganti rugi am, kos, faedah serta memohon relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif juga memohon supaya defendan membuat draf permohonan maaf kepadanya dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman dan menerbitkan draf terbabit antaranya dalam akhbar Utusan Malaysia, Sinar Harian, Berita Harian, News Straits Times dan Facebook defendan secara bertulis selama 30 hari.

Turut dimohon agar defendan memadam pernyataan-pernyataan fitnah itu daripada semua laman sesawang dan media sosial termasuk Facebook, Twitter, Blogspot, TikTok dan Instagram di bawah kawalan defendan.

Mufti Perlis itu juga memohon agar defendan sama ada melalui pekerja atau ejennya dihalang daripada mengeluarkan secara langsung atau tidak langsung pernyataan-pernyataan fitnah itu di semua laman sesawang dan semua media sosial berkenaan.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram