Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail

JOHOR akan menjadi negeri pertama menawarkan gaji premium bermula RM4,000 dan RM5,000 kepada pekerja berkemahiran tinggi menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang dilancarkan kelmarin.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah pelbagai projek baharu dijangka bakal mencipta lebih banyak peluang pekerjaan terutama kepada Bangsa Johor dalam beberapa tahun akan datang.

Titah baginda, Kerajaan Negeri Johor menerusi Johor Plantations Group Berhad (JPG) telah berjaya memeterai kerjasama dengan syarikat Jepun, Fuji Oil Asia Pte Ltd.

“Kerjasama itu bagi membina kilang penapisan minyak sawit serta lemak khusus di negeri ini.

“Kerjasama ini membabitkan nilai pembangunan awal berjumlah RM500 juta.

Baca artikel lain: Cuti hujung minggu Johor: ‘Jika ada pihak kurang senang, dipersilakan pindah ke negeri lain’, titah Tunku Mahkota Ismail

“Kerajaan Negeri Johor turut bertemu dengan 83 syarikat terkemuka di Korea Selatan untuk mempromosikan inisiatif penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan bakal membawa pelaburan strategik bernilai kira-kira AS$190 juta ke negeri ini,” titah Tunku Mahkota Ismail dalam hantaran di Facebook rasmi baginda hari ini.

Pada Ahad lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata Johor menjadi negeri pertama di Malaysia memiliki majlis pembangunan bakatnya sendiri melalui penubuhan JTDC.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dipetik berkata inisiatif kerajaan negeri membangunkan JTDC adalah usaha yang tepat dalam membangunkan ekosistem tenaga kerja mahir di Johor.

Sementara itu, Tunku Mahkota Ismail bertitah Istana Besar Johor dan Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru akan dinaik taraf dalam masa terdekat sebelum dibuka kepada umum sebagai usaha menambah nilai pelancongan di daerah ini.

“Kedua-dua Bangunan Sultan Ibrahim dan Istana Besar Johor mempunyai pelbagai sejarah Johor sejak abad ke-19,” titah baginda.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram