SEORANG mekanik yang sebelum ini tular di media sosial selepas bertindak memaki jurutol dan menendang dinding kaunter di sebuah plaza tol dekat Batu 9, Cheras Ahad lalu, didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Kajang.
Majistret Nurul Hafzan Ab Aziz mengenakan denda itu selepas Abdul Rahim Ramlan, 31, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Beliau turut mengarahkan agar lelaki berkenaan dipenjarakan sehari sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, OKS itu didakwa menggunakan perkataan yang kurang sopan terhadap jurutol terbabit, Ridwana Umairah Mahadi, 22, dengan tujuan untuk menganggu keamanan di Lorong Tol T22, Plaza Tol Batu 9, Taman Cuepacs, Cheras dekat Hulu Langat, sekitar jam 1.38 pagi pada 3 November lalu.
Justeru, OKS terbabit didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.
Terdahulu sebelum Abdul Rahim dikenakan hukuman itu, dia merayu agar meringankan hukumannya manakala Timbalan Pendakwa Raya, K S Rinisha Priya memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Sementara itu di Mahkamah Sesyen Kajang, Abdul Rahim mengaku bersalah atas satu pertuduhan memasukkan dadah disyaki jenis ‘Metamphetamine’ ke dalam tubuh badannya.
Abdul Rahim selaku orang kena tuduh (OKT) bagi kes itu, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sekitar jam 9 malam pada 4 November lepas.
Bagi kes tersebut, tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B akta yang sama.
Seterusnya, tertuduh sebelum ini telah didakwa dan dihukum bagi dua kesalahan lampau mengikut seksyen dan akta yang sama iaitu yang pertama, dia dikenakan denda RM1,500 atau tiga bulan penjara, dan dua tahun pengawasan pada 5 Januari 2024
Manakala bagi kesalahan lampau kedua, dia telah dihukum penjara 6 bulan dan dua tahun pengawasan, pada 21 September 2021.
Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39C(1)(e) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima sehingga tujuh tahun dan maksimum tiga sebatan serta pengawasan antara dua sehingga 3 tahun, mengikut Seksyen 38B akta sama, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Faelly Jeffrey Lanjungan memohon agar mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes bagi laporan patologi dan laporan kimia selain tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh.
Hakim Mazuliana kemudian bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan agar tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh selain menetapkan 13 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Pada Selasa, UtusanTV melaporkan lelaki tersebut ditahan selepas pihak polis mengesan video kejadian itu yang tular di aplikasi Facebook.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, menerusi keterangan pengadu, suspek bertindak sedemikian setelah ditegur kerana mengetuk tempat kad Touch ‘n Go dengan kuat semasa menggunakannya.
Katanya, hasil pemeriksaan ujian air kencing suspek adalah positif dadah jenis methamphetamine dan semakan mendapati suspek mempunyai 17 rekod jenayah lampau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram