BEREGU lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan kemaraan ke separuh akhir kejohanan Masters Korea selepas mudah menewaskan wakil Korea Selatan pada suku akhir di Iksan City hari ini.

Pada perlawanan di Gimnasium Iksan, beregu ranking nombor enam dunia itu mengambil masa 33 minit untuk menewaskan pasangan tuan rumah,Kim Jae Hyeon-Lee Sang Won, 21-17, 21-12.

Kemenangan itu nyata memberi suntikan semangat buat Aaron-Wooi Yik dalam usaha cuba layak beraksi di Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China, bulan depan.

Esok, wakil tunggal negara pada kejohanan status Super 300 itu akan berdepan dengan wakil Taiwan Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin untuk menentukan slot ke final.

Bagaimanapun, beregu Taiwan itu dipaksa bekerja keras untuk menumpaskan beregu China Xie Hao Nan-Zeng Wei Han 21-12, 16-21, 21-19 untuk mengesahkan slot ke separuh akhir. – BERNAMA