Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) meraikan 30 tahun penubuhannya dengan mempersembahkan teater muzikal istimewa, “Sakti Merong Mahawangsa”, sebuah karya epik yang menghimpunkan naratif sejarah, kesenian, dan budaya dalam bentuk teater muzikal yang penuh inspirasi.

Rektor ASWARA, Dr. Tan Awang Besar berkata, teater ini dipilih sebagai simbol semangat ASWARA yang tidak kenal putus asa dalam memelihara sekaligus mengangkat nilai seni dan warisan negara.

“Kisah Merong Mahawangsa ini melambangkan perjuangan ASWARA dalam menempuhi cabaran dan dedikasinya yang teguh terhadap seni dan budaya.

“Merong Mahawangsa melambangkan keperibadian yang amanah, cekal, dan setia, dan ini seiring dengan nilai-nilai yang diterapkan oleh ASWARA sejak dahulu lagi. Teater ini diharap dapat memperlihatkan bukan sahaja bakat dan komitmen alumni ASWARA tetapi juga aspirasi kami untuk terus memperkasa budaya dan kesenian Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Presiden Persatuan Alumni ASWARA, YM Tengku Iefizulasyrifie Putra Tengku Alaudin, hampir 80 peratus tenaga kerja melibatkan alumni ASWARA daripada pelbagai fakulti.

“Teater ini akan menampilkan juga bakat-bakat alumni ASWARA sebagai tanda penghargaan terhadap kejayaan mereka di persada seni tanah air. Kami mahu menghasilkan produk ini atas dasar cinta kepada ASRAWA kerana sejak daripada awal, kami telah disuntik dengan kefahaman untuk terus semarakkan seni dan budaya.

“Saya berasa amat bangga melihat kesepaduan dan semangat para alumni ASWARA yang begitu komited dalam menjayakan pementasan ‘Sakti Merong Mahawangsa’ ini. Setiap usaha, idea dan tenaga yang dicurahkan menunjukkan betapa kuatnya ikatan kami sebagai sebuah keluarga seni,” katanya.

Pementasan “Sakti Merong Mahawangsa” ini merupakan interpretasi moden dan dinamik terhadap legenda sejarah Malaysia, yang mengisahkan perjalanan Merong Mahawangsa membina Kedah Zamin Turan, yang kini dikenali sebagai negeri Kedah.

Antara barisan bakat alumni ASWARA yang turut terlibat seperti seperti Aris Kadir, Ezdianie Hayatie, Hairi Safwan, Fadhli Masoot, Saiful Wazien, Amirul Hakim, Fiza Thomas, Aznie, Mei Fen, Najua P. Ramlee, Ewan Fauzi, Syrul Ezwan, Reza Mohamed dan Hafizam.

Pementasan bermula 22 November sehingga 24 November ini bakal diadakan bertempat di Pentas 1, KLpac dengan pengisian program-program utama seperti Mainenee Show, Gala Night Show dan Eskpresi Merong-Alumni Homecoming.

Dengan lebih daripada 300 ahli yang telah menamatkan pengajian di ASWARA, alumni ini menjadi lambang kejayaan ASWARA dalam melahirkan generasi penggiat seni professional yang aktif bukan sahaja di peringkat tempatan, malah di persada antarabangsa.

Penjualan tiket secara atas talian pementasan juga bakal bermula pada 6 Nov menerusipautan https://www.cloudjoi.com/shows/teater-muzikal-sakti-merong-mahawangsa.