National CEO Symposium 2025 terus memperkukuh ekonomi dalam pelbagai lanskap perniagaan dengan mewujudkan satu ekosistem bagi memudahkan sesebuah syarikat mengamalkan operasi perniagaan patuh syariah.
Ketua Pegawai Eksekutif KNKV Group, Prof (Adj) Hj Adam Shah Abdul Rahman berkata, simposium ini diasaskan untuk memberi sumbangan kepada usahawan peringkat pertengahan bagi tujuan menggalakkan ekonomi Islam.
“Harus diketahui, operasi patuh syariah ini sangat besar dan bukan hanya terhad kepada kewangan. Kami mahu syarikat ini menguasai amalan operasi lengkap patuh syariah, dan ia juga terbuka kepada syarikat bukan Islam yang berniaga produk halal. Sistem ini lebih lestari dan kalis masa hadapan,” katanya.
Adam turut menambah, Dewan Perniagaan Muslim Insiders (Muslim Insiders Chamber of Commerce) ini bukan Sahaja memberi fokus kepada jaringan, namun kepada impak dan hasil.
“Peserta mesti merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau pembuat keputusan dalam syarikat yang mencatatkan jualan tahunan tidak kurang dari RM5 juta, mempunyai rekod perniagaan yang bersih, serta mempromosikan mesej jenama yang positif. Inisiatif ini bertujuan agar setiap syarikat yang menjalin usahasama mempunyai kemampuan kapital sedia ada.
“Selepas berjaya ke arah operasi patuh syariah, kami akan memberi khidmat nasihat untuk pelaburan ke luar negara untuk pasaran yang lebih besar,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, KNKV Group turut mengumumkan perlantikan Senator Datuk Seri Dr. Hjh Zurainah Musa sebagai Pengerusi baharu. Jelas Adam, kepimpinan beliau dijangka memberi nilai strategik kepada KNKV Group melalui pengalaman luasnya dalam memperkukuhkan ekosistem perniagaan serta memperkasakan usahawan dan sektor korporat di Malaysia.
Dengan kerjasama dari pelbagai pihak, Simposium ini dijangka menjadi platform utama bagi memperkukuhkan daya saing syarikat-syarikat Malaysia dan membuka peluang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.