OLEH: SHAHBUDIN EMBUN
NEGARA kehilangan seorang tokoh ilmuwan dan pakar sejarah apabila Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling meninggal dunia di Hospital Shah Alam, pada 7 November 2024.
Allahyarham bukan sahaja terkenal sebagai seorang tokoh sejarah dan ilmuwan, tetapi juga aktivis, pemikir, pejuang bangsa dan tanah air yang tidak gentar menyuarakan pelbagai pandangan berkaitan.
Benar, dalam beliau melontarkan pandangan itu, ada kalanya menimbulkan kontroversi dan rasa tidak senang beberapa pihak namun, kita tidak boleh mempersoalkan keikhlasan dan ketulusan Zainal dalam menyatakan sesuatu isu itu kerana beliau sentiasa mempertahan dan meningkatkan kedaulatan bangsa Melayu yang sentiasa menjadi teras perjuangan Allahyarham.
Jika dilihat pada sumbangan Allahyarham, pastinya sukar untuk kita semua membalas jasa yang telah ditabur. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan yang Allahyarham merupakan antara ilmuwan yang paling tersohor dalam sejarah negara kita.
Sumbangan beliau begitu ketara dan sering menjadi rujukan dalam pembentukan dasar dan polisi negara serta perkara yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat.
Sebagai salah seorang peneraju daripada Jawatan Kuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM), saya serta semua rakan dalam MPM menganggap diri kami ini bernasib baik kerana dapat melihat dan merasai sendiri bagaimana Allahyarham yang merupakan Pengerusi Bersama MPM telah banyak menabur bakti ketika berjuang bersama kami dalam MPM.
Nasihat dan saranan yang beliau berikan akan sentiasa kami ingati dan dijadikan sebagai panduan dalam perjuangan kami ini.
Sebenarnya jika hendak dihuraikan satu persatu, memang terlalu banyak jasa Allahyarham yang hendak diceritakan. Antara yang menjadi ingatan saya ialah apabila Jawatankuasa Pemandu MPM mewujudkan gerakan baharu yang dinamakan’Gerakan Jihad Rakyat Banteras Ekonomi Gelap’ serta memerangi rasuah yang dilihat sangat jijik yang merupakan satu jenayah besar kerana ia bernilai berbiion ringgit.
“Sebelum ini pelbagai cara telah dilakukan untuk membasmi, menghapus dan melarang orang ramai daripada melakukan kejahatan termasuk rasuah tetapi usaha itu seolah-olah tidak cukup.
“Jadi kita terpaksa menggunakan pendekatan lebih agung iaitu jihad kerana asas utamanya ialah perjuangan. Perjuangan kita untuk menghapuskan rasuah dan kejahatan serta tata kelola,” Begitulah antara kata-kata beliau yang begitu serius untuk membantu negara memerangi rasuah.
Baca artikel lain: Pakar sejarah, tokoh akademik Zainal Kling meninggal dunia
Susulan daripada usaha itu, sehingga hari ini MPM sentiasa memberikan kerjasama dengan pelbagai pihak yang turut disertai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat.
Allahyarham yang dilahirkan pada 27 November 1944 membesar dalam suasana kampung dan bersekolah Melayu pada tahun 1950. Beliau melihat dan merasai sendiri bagaimana anak-anak Melayu seperti sudah dirancang dari awal oleh penjajahan British untuk sentiasa berpuas hati menjadi buruh, petani, nelayan atau polis dan tentera.
Ini menyebabkan Allahyarham sentiasa mengambil berat dan sering berusaha memperjuangkan nasib anak bangsa supaya dapat dipertingkatkan lagi. Demi perjuangan bangsa, beliau memastikan dapat menerima pendidikan sehingga ke peringkat tertinggi.
Menurut laporan dari Arkib Negara, Allahyarham telah menyambung pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera (B.A.Hons) pada tahun 1964-1966/67, Ijazah Sarjana Sastera (M.A.Hons) di universiti yang sama tahun 1967-1969-70 dan seterusnya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat Ph.D di University of Hull, England tahun 1970-1973/74.
Segala pengalaman yang diperolehi ini membuatkan beliau kemudiannya berjaya menjadi seorang tokoh ilmuwan dan akademik yang berjaya.
Dan hasil kejayaan yang dicapai ini telah membolehkan beliau untuk terus bersuara lantang serta menulis pelbagai laporan dan rencana untuk memberi kesedaran kepada anak-anak muda supaya mengambil berat akan hak keistimewaan Melayu yang diperjuangkan dalam perlembagaan.
Beliau sering menegaskan bahawa hak ini bukan sekadar dilihat sebagai satu warisan yang perlu dilindungi, tetapi juga satu lambang kedaulatan yang mesti dihormati oleh semua pihak.
Apa yang pasti, pemergian beliau merupakan satu kehilangan dan amat sukar untuk dicari ganti. Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.
Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Penulis ialah penganalisis politik
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram