BANJIR yang melanda negara pada penghujung tahun lepas dan awal tahun ini telah mengakibatkan kerugian berjumlah RM6.1 bilion. GAMBAR HIASAN: Abd Razak Aid

SELANGOR sedang meneliti cadangan mitigasi banjir melibatkan pembinaan terowong bawah tanah berdasarkan model digunakan di Jepun, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim.

Beliau berkata, cadangan projek dianggarkan bernilai RM6 billion itu diajukan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Fadillah Yusof kerana ia turut membabitkan beberapa kawasan di ibu kota.

“Ini sebahagian kajian yang akan terlibat bawah Pelan Induk Air Selangor … berdasarkan pandangan pakar, sungai kita tidak mampu menguruskan taburan hujan yang luar biasa dan ini bukan sahaja mampu menyelamatkan Selangor tetapi juga Kuala Lumpur.

“Seperti yang dilakukan di Jepun, kita ambil sungai utama yang mengalir ke Selangor di Kuala Lumpur, contohnya Sungai Gombak, kita tap limpahan air di situ dan salurkan ke kuala sungai atau ke laut bagi mengelakkan masalah banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Selangor Pakej B di Rumah Pam Rantau Panjang hari ini.

Mengulas mengenai penyerahan projek SJAM hari ini, beliau berkata, ia sebagai langkah pengurusan jika berlaku pencemaran di Sungai Langat dan Sungai Selangor bagi mengalirkan air mentah dari Kolam Takungan Hang Tuah, Bestari Jaya ke muka sauk Loji Rawatan Air Rantau Panjang.

“Jika berlaku pencemaran, kolam ini mampu bertahan (untuk bekalkan air bersih) selama lima hari, tetapi kita yakin jika berlaku pencemaran biasanya tidak selama itu untuk diuruskan,” katanya.

Izham berkata, tiga lagi pakej SJAM meliputi A,C dan D kini berapa pada tahap 94.5% dengan keseluruhan kos RM320 juta.

“Saya juga akan berbincang dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri kerana saya tertarik dengan idea di Jepun, iaitu tempat seperti ini mereka jadikan sebagai tarikan pelancong di samping untuk tujuan pendidikan,” katanya.

— BERNAMA