Kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabit kemalangan di Karak. Gambar: Orang awam

TENTERA Darat Malaysia (TDM) mengesahkan dua aset miliknya kenderaan jenis A (KJA) Adnan terlibatkan dalam kemalangan di Kilometer 35.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, petang semalam.

TDM dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku ketika enam buah kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) berkonvoi membawa 12 buah KJA Adnan ke Kem Syed Sirajuddin bagi Latihan Peningkatan Tempur.

“Melalui laporan awal yang diterima, kemalangan disebabkan KPKP cuba untuk mengelak sebuah treler awam yang telah menukar haluan dan masuk ke lorong kanan secara tiba-tiba.

“Disebabkan keadaan jalan yang licin akibat cuaca hujan, KPKP telah hilang kawalan dan seterusnya terbabas ke jalan bertentangan.

“Kerosakan adalah keseluruhan bahagian ‘prime mover’ KPKP,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, kenderaan lain yang berada di dalam konvoi telah meneruskan perjalanan ke Kem Perdana Sungai Besi.

Tentera Darat Malaysia juga telah menggerakan sebuah kenderaan KEMBALIK dari pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD Mek) dari Kem Batu 10, Kuantan dan sebuah KPKP dari Kem Perdana Sungai Besi ke lokasi kemalangan bagi membuat penarikan KPKP dan pengambilan dua buah KJA yang terlibat kemalangan.

Lembaga Siasatan akan ditubuhkan bagi menyiasat punca sebenar kemalangan berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, siasatan awal mendapati lori milik ATM tersebut dipandu lelaki tempatan berusia 30 tahun bersama pembantu berusia 29 tahun.

Katanya, pemandu dan penumpang sebuah lori bermuatan dua buah kereta perisai dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sampai di lokasi kejadian, lori ATM telah terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di sebelah kanan sebelum terjatuh ke arah laluan bertentangan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Amira Abu Hassan di talian 019-6026596.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram