Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaminkan doa sebelum berlepas ke Kaherah, Mesir, hari ini. GAMBAR: Facebook Anwar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi berlepas ke Kaherah, Mesir, petang ini bagi mengadakan lawatan rasmi atas jemputan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.

Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri turut meminta semua pihak mendoakan perjalanan beliau dan delegasi Malaysia supaya dipermudahkan.

“Saya dan delegasi Malaysia petang ini berangkat ke Kaherah, Mesir bagi mengadakan lawatan rasmi atas jemputan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.

“Doakan perjalanan saya dan delegasi Malaysia dipermudah serta kesemua pertemuan yang akan berlangsung dapat membawa hasil yang besar kepada rakyat dan negara, Insya-Allah,” katanya dalam hantaran tersebut.

Usai lawatan rasmi ke Mesir, Anwar memaklumkan beliau kemudiannya akan ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam yang akan membincangkan situasi terkini di Palestin dan Lubnan serta perkembangan serantau.

Selepas itu, Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 di Lima, Peru.

Baca artikel lain: Lawatan rasmi PM Anwar ke Mesir bakal perkukuh hubungan dua hala Malaysia-Mesir

“Seterusnya, delegasi Malaysia akan ke Rio de Janeiro, Brazil bagi memenuhi undangan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20,” katanya.

Perdana Menteri akan memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke Mesir mulai hari ini bagi membuka ruang untuk mempelbagai dan mengukuhkan kerjasama serta memperkukuh asas yang menjadi sinergi ke atas usaha-usaha meneliti pelbagai isu serantau dan global yang berkepentingan bersama.

Perdana Menteri dijangka tiba di Kaherah pada 6.30 petang hari ini waktu tempatan atau 12.30 tengah malam waktu Malaysia.

Mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan rasmi berkenaan ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Mesir merupakan rakan dagangan Malaysia ke-5 di antara negara-negara Afrika pada tahun 2023, dengan nilai dagangan berjumlah RM3.35 bilion dengan imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram