SEBANYAK 1,172 insiden berlaku di laut direkodkan sepanjang bulan Januari hingga Oktober tahun ini dengan 53 individu dilapor meninggal dunia manakala 24 lagi masih belum ditemui.
Sehubungan itu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah mengingatkan orang ramai terutama komuniti maritim supaya berwaspada dan berhati-hati ketika membuat sebarang aktiviti di laut.
Kata beliau, sikap berwaspada itu perlu ditingkatkan apatah lagi ketika negara mula beralih ke fasa Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.
Pada masa sama, Mohd Rosli berkata, APMM juga telah melaksanakan kira-kira 200 program dalam usaha mengurangkan insiden di laut.
“Kita sudah berada di penghujung tahun jadi saya ingin mengingatkan masyarakat tentang MTL di mana kita perlu lebih berhati-hati apabila melakukan sebarang aktiviti di laut untuk mengelakkan berlakunya kemalangan jiwa.
“Kita berharap insiden berkaitan kemalangan di laut berkurangan pada musim MTL kali ini dengan amaran lebih awal dan program pendedahan telah pun diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Hari Bersama Media APMM 2024 di Lapang Sasar Kelab Menembak Sasaran Shapadu di Putrajaya, hari ini.
Baca artikel lain: Anggota bertugas di lapangan guna kamera badan elak pelanggaran SOP – APMM
Seramai 80 pengamal media daripada pelbagai agensi media cetak dan elektronik termasuk UtusanTV menyertai Hari Bersama Media APMM 2024 itu.
Program tersebut melibatkan pertandingan menembak bagi kategori precision individu dan kumpulan selain jatuh piring berkumpulan.
Mengulas lanjut, Mohd Rosli turut mengingatkan komuniti maritim untuk membuat persediaan peralatan keselamatan termasuk personal locator beacon (PLB) sebagai peranti kecemasan ketika melakukan aktiviti di laut sepanjang musim MTL.
Berhubung penugasan sepanjang MTL, beliau berkata, APMM akan memberikan bantuan kepada masyarakat yang terjejas dengan bencana banjir menerusi khidmat udara.
Selain persediaan di laut, kita turut bersedia dalam konteks khidmat udara.
“Pasukan udara Maritim Malaysia bersedia membantu dalam menyampaikan bekalan makanan terutama di kawasan yang sukar untuk dicapai menggunakan kenderaan darat atau bot,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram