MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim zionis Israel di Sidon, selatan Lubnan, Khamis lalu yang telah mengorbankan tiga orang awam.
Pada masa sama, serangan itu juga telah menyebabkan enam anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang bertugas sebagai pasukan pengaman dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) cedera ringan.
Kementerian Luar dalam kenyataan menegaskan, serangan haram berterusan Israel telah mencabul undang-undang kemanusiaan antarabangsa; Konvensyen Geneva dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701.
Menurut Kementerian Luar, ia merupakan asas kepada mandat UNIFIL untuk melaksanakan misi dan operasi di rantau tersebut.
Katanya, peranan penting UNIFIL itu tidak boleh terjejas.
“Malaysia sekali lagi menegaskan bahawa keselamatan pasukan pengaman PBB serta petugas, konvoi dan infrastruktur misi kemanusiaan perlu sentiasa dilindungi dan diutamakan.
“Ini merupakan satu kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa yang tidak boleh dikompromi dan harus dipatuhi oleh semua negara tanpa sebarang pengecualian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Mindef pantau secara harian situasi anggota MALBATT
Mengulas lanjut, Kementerian Luar berkata, Malaysia turut menyeru Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk mengambil tindakan yang segera, tegas dan bersepadu bagi memastikan keselamatan semua anggota pengaman PBB yang memenuhi mandat UNSC.
Pada Khamis, sebuah konvoi pasukan pengaman PBB diserang ketika melalui bandar Saida di selatan Lubnan. UNIFIL kini sedang menyiasat insiden itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), enam anggota Batalion Malaysia (MALBATT) cedera susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida di Lubnan ketika pergerakan anggota Malbatt 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada 1.54 tengah hari waktu Lubnan (7.54 malam waktu Malaysia).
Pasukan itu yang terdiri daripada 220 pegawai dan anggota lain-lain pangkat, baru sahaja tiba di Lubnan bagi meneruskan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu apabila serangan berlaku.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram