TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perniagaan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff dilantik sebagai Pemangku CEO bank tersebut berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Ahmad Shahril bagi menggantikan Datuk Dr Mohammad Hanis Osman yang menamatkan tempoh perkhidmatan bagi mengejar peluang baharu.

Bank Rakyat dalam kenyataan hari ini memberitahu, pelantikan Ahmad Shahril itu bertujuan untuk memastikan kesinambungan kepimpinan dan operasi Bank Rakyat berjalan lancar.

Pada masa sama, Bank Rakyat memaklumkan, Ahmad Shahril yang mempunyai pengalaman lebih 26 tahun dalam industri perbankan dan kewangan serta mempunyai kelayakan akademik yang luas.

Jelasnya, Ahmad Shahril merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan dan Perakaunan dari University of Salford, United Kingdom (UK) serta Ahli Bertauliah di Chartered Institute of Islamic Finance.

“Pelan peralihan ini membuktikan komitmen Bank Rakyat untuk terus memberikan nilai kepada pelanggan dan pemegang berkepentingannya.

Baca artikel lain: Bank Rakyat taja lapan pelajar ke Universiti Wise, Jordan

“Kami yakin pelantikan ini akan terus membawa Bank Rakyat ke hadapan sambil mencapai objektif strategik kami.

“Bank Rakyat juga telah merangka pelan penggantian untuk pengisian jawatan Ketua Pegawai Eksekutif yang akan diumumkan kelak,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, Bank Rakyat merakamkan penghargaan kepada Mohammad Hanis atas komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan dalam memastikan kesinambungan pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) dilaksanakan dengan baik untuk mencapai matlamat dan aspirasi yang dirangka.

Katanya, Mohammad Hanis telah berkhidmat selama 15 tahun di Bank Rakyat dan dilantik sebagai Pemangku CEO pada 1 April 2022 sebelum memegang teraju sebagai CEO berkuat kuasa 1 Julai 2022.

“Pelbagai pencapaian dan pengiktirafan turut berjaya diraih sepanjang tempoh beliau menerajui kepimpinan Bank Rakyat.

“Semasa kepimpinannya, Bank Rakyat telah diiktiraf sebagai jenama paling pesat berkembang di Malaysia mendahului jenama perbankan lain menurut laporan perunding penilaian jenama terkemuka, Brand Finance Malaysia 2023.

“Justeru, Bank Rakyat berterima kasih atas dedikasi dan sumbangan besar beliau sepanjang memimpin syarikat,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram