Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika berucap pada sambutan Hari Kurier Negara 2024, hari ini. GAMBAR: Facebook Fahmi

MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini menyarankan semua syarikat kurier di negara ini menyertai Program Latihan Pasport Keselamatan Kurier, bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan pekerja dan kecekapan penghantaran bungkusan.

Beliau berkata selain itu, program itu juga bertujuan memastikan pengendalian bungkusan barang yang selamat dan menyediakan kemahiran diperlukan pekerja industri kurier untuk melaksanakan tugas dengan baik.

“Ini adalah usaha beberapa pihak bagi memberi penekanan kepada syarikat kurier untuk mereka menitikberatkan aspek keselamatan pekerja dan penghantaran bungkusan.

“Ini satu usaha yang cukup kita raikan dan kita sambut dengan baik, kita harap lebih banyak syarikat kurier akan terlibat pada masa akan datang,” katanya kepada media selepas melancarkan Hari Kurier Negara 2024 yang turut dihadiri timbalannya Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Hari Kurier Negara disambut secara rasmi pada 1 Nov 2024 bagi mengiktiraf dan menghargai lebih 160,000 pekerja kurier di negara ini.

Baca artikel lain: Syarat tambahan MCMC kepada U Mobile pastikan keseimbangan, wujud persaingan sihat – Fahmi

Fahmi berkata berkata sehingga kini terdapat 104 syarikat kurier yang merupakan pemegang lesen pos dan kurier di negara ini, yang menguruskan hampir 97 peratus penghantaran bungkusan kepada pelanggan.

Pada majlis berkenaan, Fahmi menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Persatuan Syarikat Penghantaran Express Malaysia (AMEC) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk pelaksanaan program itu.

Terdahulu Fahmi ketika berucap dalam majlis itu berkata industri kurier telah menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 160,000 rakyat Malaysia dan dijangka terus berkembang selaras dengan sasaran kadar pertumbuhan kerajaan sebanyak 30 bungkusan per kapita menjelang 2025.

Berkongsi data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada 2023, beliau berkata industri kurier telah mencapai kadar 26.1 bungkusan per kapita dan angka itu menunjukkan kemajuan positif ke arah sasaran tersebut.

Fahmi turut menyarankan AMEC untuk mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Manusia bagi membincangkan mengenai dasar gaji progresif dalam memastikan pemberian upah yang adil kepada pekerja.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram