Salad yang diperkenalkan sejak zaman Roman dan Greek, sehingga hari ini menjadi juadah penting terutamanya dari sudut kesihatan.

Makanan sihat ini, di negara kita menjadi hidangan diet. Jom kita cuba aneka jenis salad ini.

Salad Campur Avokado
Satukan hirisan timun, tomato, salad, avocado dan buah pir. Taburkan daun bawang dan gaulkan dengan minyak zaitun, garam, lada hitam serta perahan lemon. Sejukkan dan taburkan hirisan daun selasih sebelum dihidangkan.

Salad Tuna
Salad jenis ini sesuai dimakan pada musim panas kerana ia sungguh menyegarkan. Penggunaan tomato, timun, salad pilihan, daun ketumbar dan isi tuna dalam tin (jenis chunck) dicampur dengan sedikit lada hitam, minyak zaitun, perahan lemon dan sedikit garam. Hidangkan sejuk. Penyediaannya mudah dan tidak remeh.

Salad Nusantara
Salad ini menggunakan apa saja jenis buah-buahan yang ada dalam peti sejuk. Campurkan kesemua buah-buahan ini dan perahkan jus lemon. Satukan empat jenis buah yang berbeza rasa. Gabungan rasa masam dan manis, enak dihidangkan aiskrim vanila.

Salad Avokado Badam
Salad ini memang enak dan cukup mengenyangkan, selain serat ia juga mengandungi khasiat vitamin dan karbohidrat. Sesuai bagi mereka yang berdiet pada malam hari.

BAHAN-BAHAN
2 biji avokado
2 biji telur rebus
Segenggam badam/gajus/walnut – sangai atau bakar
2 sudu besar minyak zaitun
1 ketul dada ayam – hiris
Salad pilihan
Perahan lemon
Garam

CARA PENYEDIAAN

  1. Pertama, anda boleh pilih: sama ada rebus dada ayam sehingga masak ataupun panggang. Kemudian hiris.
  2. Satukan dengan bahan-bahan lain dan gaulkan dengan minyak zaitun dan perahan lemon.

SALAD PARU
Salad jenis ini memang tidak pernah dimakan oleh masyarakat Barat. Resipi percubaan ini ternyata sesuai untuk orang kita dan selain diratah begitu sahaja sebagai hidangan salad, ia juga boleh dimakan dengan nasi. Cara membuatnya juga mudah dan tidak memerlukan bahan yang banyak.

BAHAN REBUS
1/ 2 kg paru
5 helai daun limau purut
2 batang serai – ketuk
Sedikit garam

BAHAN PELENGKAP
1 biji lemon
1 biji limau nipis
6 tangkai cili padi – hiris
Garam dan gula
Daun ketumbar – hiris
Sedikit minyak zaitun/jagung/bunga matahari

CARA PENYEDIAAN

  1. Satukan bahan rebus dalam periuk dan rebus menggunakan air sehingga paru empuk.
  2. Angkat paru dan toskan.
  3. Hiris paru nipis dan lebar.
  4. Sagat kulit lemon dan kulit limau nipis dan satukan dengan bahan pelengkap lain. Gaul sebati. Tuangkan di atas paru.

Salad Buah Ringkas
Hidangan ini sebaiknya dihidangkan sejuk dan boleh disediakan awal. Menggunakan buah-buahan dalam tin, ia agak mudah kerana rasanya yang sudah manis hasil rendaman di dalam sirap.

Satukan campuran daun pudina dan perahan air lemon ataupun limau nipis bagi membangkitkan rasa salad yang segar.

Salad Lenyek
Apa yang dimaksudkan salad lenyek, ialah campur avokado dan tuna dalam tin yang dilenyek sebati dan kemudian dicampurkan dengan minyak zaitun, garam, lada hitam dan jus lemon.

Untuk melengkapkan rasa enak dalam salad, campurkan kentang rebus, telur rebus dan salad pilihan. Pilihan lain yang sesuai ialah hirisan parsli ataupun daun ketumbar. Salad lenyek ini enak juga dimakan dengan roti.

Salad Buah Mayonis

BAHAN-BAHAN
Buah beri biru
Strawberi
Melon rock
Mangga
Daun ketumbar atau pudina
½ cawan mayonis

CARA PENYEDIAAN :

  1. Satukan semua bahan dan gaul sebati. Masukkan dalam peti sejuk.