HARAPAN dan cita-cita tidak kesampaian. Catatan sejarah yang ingin dilakar tidak jadi kenyataan. Inilah kepahitan yang terpaksa ditelan oleh Kamala Harris setelah tewas kepada calon Republikan, Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika 2024 pada 5 November lalu.

Kamala, penyandang jawatan naib presiden, masuk gelanggang selaku calon Demokrat setelah Presiden Joe Biden menarik diri mempertahan jawatan. Misi Kamala bukan sahaja mahu menang tetapi mencipta sejarah wanita pertama jadi presiden, juga tokoh bukan kulit putih kedua jadi presiden selepas Barrack Obama.

Trump pula masuk gelanggang dalam percubaan kembali ke Rumah Putih bagi kali kedua selepas tewas pilihan raya tahun 2020 di tangan Joe Biden. Dia pertama kali ke Rumah Putih setelah menang pilihan raya presiden tahun 2016 menewaskan Hillary Clinton.

Apabila keputusan muktamad diumumkan, Kamala Harris gagal dalam misinya. Trump sebaliknya berjaya dipilih presiden untuk kali kedua. Trump memperoleh 295 undi pemilih (electoral votes) sementara Kamala memperoleh 226 undi. Undi popular diperoleh Trump ialah 50.7 dan Kamala 47.7 peratus.

Jumlah keseluruhan undi pemilih di 50 negeri Amerika dan Washington DC ialah 538. Calon mesti memperoleh sekurang-kurangnya 270 undi pemilih untuk menang.

Seperti jangkaan awal, persaingan Kamala-Trump sengit. Walau pun Trump tidak menang besar atau ‘landslide’, jurang undi pemilih agak besar. Kemenangan Trump banyak dibantu oleh kejayaan menguasai negeri-negeri ‘berubah’ atau swing states.

Negeri-negeri ‘berubah’ secara mudah bermaksud ‘atas pagar’. Pola pengundian di negeri-negeri tersebut tidak tetap, tidak komited terhadap calon Demokrat atau Republikan. Ia boleh berubah dalam pilihan raya berbanding negeri-negeri lain yang dikenali kubu kuat Demokrat atau Republikan.

Oleh itu kejayaan Trump menang di negeri-negeri ini, yang mempunyai banyak jumlah undi pemilih, memudahkan laluan untuk menang. Kali kedua terpilih presiden bermakna kali terakhir buat Trump. Perlembagaan Amerika menetapkan seseorang boleh menjadi presiden hanya untuk dua penggal, empat tahun setiap penggal.

Pilihan raya presiden 2024 yang menawarkan bakal presiden wanita pertama dan bukan kulit putih kedua, nampaknya tidak diterima oleh sebahagian besar pengundi. Sebenarnya inilah kali kedua rakyat Amerika disajikan calon presiden wanita tetapi ditolak.

Percubaan pertama dilakukan oleh mantan Setiausaha Negara, Hillary Clinton, yang juga isteri mantan Presiden Bill Clinton pada pilihan raya 2016. Dia juga tewas di tangan Trump.

Pengundi yang menolak Trump pada pilihan raya 2020 kembali memberi sokongan kepadanya. Mereka dilihat lebih mempercayai kemampuannya berbanding Kamala. Ada yang berpendapat ini peluang kedua diberi kepada Trump membawa Amerika ke arah lebih baik, terutama dalam aspek ekonomi dan mengatasi inflasi.

Kekalahan Kamala menimbulkan persoalan menarik. Adakah sejak George Washington dipilih presiden pertama pada 1789 (hingga 1797), dan hingga kini sudah 46 penyandang jawatan presiden, Amerika belum bersedia menerima presiden wanita?

Atau adakah pengundi menganalisis faktor calon, baik Hillary atau Kamala, sehingga menolak kedua-duanya? Hillary, senator dari New York dan mantan Setiausaha Negara dalam kabinet Obama, dianggap calon sesuai bertarung dengan Trump, ahli perniagaan dan tokoh korporat.

Setelah satu penggal berkuasa, rakyat Amerika menolak Trump pada pilihan raya 2020, sebaliknya memilih Joe Biden. Oleh itu agak menarik difikirkan kenapa kali ini pengundi kembali memilih Trump. Kerana pesaingnya seorang wanita?

Kamala, senator dari California, mempunyai rekod cemerlang sebagai penjawat awam selaku Peguam Negara negeri Californa. Kerana itu dia dipilih oleh Joe Biden menjadi pasangan bertanding atau ‘running mate’.

Malah mungkin faktor Kamala yang membolehkan Biden menang pilihan raya 2020. Kamala memiliki ciri-ciri sebagai pemimpin. Tetapi apabila dia sendiri bertanding, rakyat menolaknya, pada hal dia dilihat sebagai calon berpotensi.

Sebagai penyandang jawatan naib presiden, peranan Kamala penting. Jika berlaku kebuntuan dalam pengundian di senat misalnya akibat undi terikat, dia mempunyai kuasa undi pemecah atau undi penentu.

Lebih penting, jika sesuatu berlaku kepada presiden sehingga meletakkan dia dalam keadaan tidak mampu melaksanakan tanggung jawab, naib presiden akan mengambil alih.

Contohnya pada tahun 1974 apabila Presiden Richard Nixon meletak jawatan selepas dua tahun pertama penggal kedua kerana skandal Watergate, naib presiden Gerald Ford mengambil alih jawatan. Ford bagaimana pun tewas kepada Jimmy Carter pada pilihan raya 1976.

Kualiti yang ada pada Kamala Harris dirasakan belum mencukupi oleh pengundi. Atau mungkin juga kerana dia wanita, seperti tewasnya Hillary. Sampai bila baharu pengundi bersedia memberi peluang kepada wanita memimpin negara?

Bukan ramai dan bukan mudah wanita terpilih jadi calon. Selepas ini entah pada pilihan raya bila pula ada calon wanita. Mungkin Kamala boleh cuba lagi pada tahun 2028. Belum cuba belum tahu. Mungkin wanita boleh jadi presiden Amerika yang hebat.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram