PELAKON Fattah Amin bersetuju memberikan hak penjagaan anaknya iaitu Nur Fatima Aisya kepada bekas isterinya, Nur Fazura Sharifuddin.
Peguam yang mewakili Fattah iaitu Syamimi Ab Rahman berkata, keputusan itu dibuat selepas kedua-dua belah pihak bersetuju dengan terma yang telah ditetapkan.
“Untuk terma tuntutan hadanah, kedua belah pihak telah bersetuju untuk memberikan hak penjagaan anak sepenuhnya kepada Fazura selaku ibu kandung,” katanya memetik laporan OhBulan!.
Syamimi berkongsi perkara tersebut ketika ditemui selepas selesai prosiding tuntutan hadanah melibatkan Fattah dan Fazura di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, hari ini.
Tambah Syamimi, anak guamnya itu tetap mendapat hak lawatan bermalam dan lawatan harian meskipun hak penjagaan jatuh sepenuhnya kepada Fazura.
BACA LAGI: Fazura, Fattah sah cerai talak satu
“Untuk hak lawatan ada dua terma iaitu lawatan bermalam dan lawatan harian.
“Untuk lawatan bermalam, Fattah diberikan hak sebanyak dua kali dalam sebulan bergantung kepada kelapangan Fattah iaitu jemput Fatimah pada hari Jumaat dan pulangkan semula pada hari Ahad.
“Fattah juga perlu memaklumkan dua hari sebelum minggu lawatan untuk bermalam dengan Fatimah. Manakala, untuk lawatan harian dan tanpa bermalam, Fattah dibenarkan untuk meluangkan masa bersama Fatimah sebanyak tiga kali seminggu,” ujarnya.
Sementara itu, Fazura meluahkan rasa syukur selepas semuanya selesai manakala Fattah enggan ditemu bual pengamal media.
“Alhamdulillah, saya tak ada apa-apa yang mahu diulas. Saya serahkan semua pada peguam saya,” katanya ringkas.
Terdahulu, Fattah dan Fazura bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Subang Bestari pada 7 Oktober.
Pasangan itu berkahwin pada 27 November 2017 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan Nur Fatima Aisya, 4.
SUMBER: OhBulan!