Di Timur Miami, terdapat sebuah kota bawah air. Pengunjung yang datang akan disambut sepasang patung batu singa di pintu gerbang, laluan masuk utama ke kota bawah air ini.

Mungkinkah wujud kerajaan sewaktu zaman lampau sebelum tenggelam di bawah air?  Jawapannya, tidak. Kota itu sebenarnya merupakan sebuah kawasan perkuburan zaman moden.

Kubur dalam laut? Ya, benar. Boleh dikatakan kawasan ini ialah perkuburan dalam laut yang pertama diwujudkan. Ia dibina pada tahun 2007. Neptune Memorial Reef  atau tanah perkuburan bawah air ini asalnya dicipta oleh Gary Levine. Artis yang bertanggungjawab ke atas reka bentuk tanah perkuburan ini pula ialah Kim Brandell.

Neptune Memorial Reef, perkuburan dalam laut pertama yang dibina.

Mulanya, projek ini dikenali dengan nama Atlantis Reef Project, kerana susun atur ‘kota’ tersebut dibina berdasarkan inspirasi dari kota Atlantis yang terkenal.

Keluasan kawasan perkuburan ini menjangkaui 600,000 kaki persegi dan berkedalaman hampir 40 kaki. Lokasi tanah perkuburan ini terletak lebih kurang lima kilometer jauhnya dari pesisir pantai Key Biscane. Perkuburan ini dikatakan adalah yang pertama seumpamanya di dunia.

Susun atur perkuburan dalam laut Neptune Memorial Reef.
Penyelam boleh menyelam ke kawasan perkuburan ini.

Selain daripada menjadi tempat persemadian akhir, kawasan ini juga telah dicipta untuk menjadi terumbu karang ciptaan manusia di mana berjaya menarik pelbagai spesies ikan untuk ‘tinggal’ di sini.  Kawasan perkuburan ini tentunya menarik dengan pelbagai binaan batu yang dicipta menyerupai kota tinggalan bersejarah.

Pasti ramai tertanya, bagaimana pula proses pengebumian dilakukan? Pertama sekali, mereka yang ingin menyemadikan ahli keluarga dan orang tersayang di kawasan perkuburan ini perlu memilih antara 15 tapak kubur yang ada di sini. Ia terbahagi kepada beberapa kawasan seperti kawasan habitat ikan, kawasan singa (yang mana terletak dua bongkah patung batu singa) sehinggalah ke kawasan yang diklasifikasikan sebagai kawasan eksklusif yang mana terdapat tinggalan kapal karam.

Kawasan batu singa.

Prosesnya pula sangat mudah, mayat si mati akan dibakar dan abu mayat tersebut kemudiannya dicampurkan dengan simen sebelum diletakkan dalam cangkerang atau acuan berbentuk tapak Sulaiman. 

Mereka akan menjadi sebahagian daripada ‘terumbu karang’ ciptaan di sana. Ahli keluarga digalakkan turut serta sewaktu proses ini dijalankan. Mereka boleh memilih untuk turut sama menyelam ataupun sekadar menyaksikannya dari dalam bot. Ahli keluarga juga dibenarkan untuk melawat ‘kubur’ di sini pada bila-bila masa secara percuma.

Kawasan perkuburan ini dipercayai boleh memuatkan 125,000 buah kubur dan kini dikatakan hampir separuh daripada kawasan perkuburan tersebut telah ‘berpenghuni’.

Kos untuk proses pengebumian di sini adalahg sekitar 4,000 USD. Antara individu terkenal yang pernah menggunakan khidmat pengebumian dalam air ini ialah mendiang Julia Child, salah seorang chef televisyen terkenal di dunia.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram