PENYANYI Aizat Amdan, bukanlah figura asing dalam bidang seni suara.
Kini dia mula menceburi bidang sukan Muay Thai, dan telah bertarung perlawanan pertama?
“Saya sebenarnya sudah lama meminati sukan Muay Thai sejak 2015 lagi dan gemar melihat peninju Muay Thai legendaris beraksi di gelanggang perlawanan.
“Lalu saya mula berjinak-jinak menjalani latihan sehinggalah satu hari jurulatih memberitahu bahawa saya sudah bersedia untuk ‘fight’, tidak pernah terlintas di fikiran sehinggalah tarikh 12 Oktober lalu,” kongsi Aizat mengenai perlawanan Muay Thai pertamanya secara amatur.
Terbaharu, Aizat kembali dengan single berjudul Tegap Berdiri hasil ciptaannya bersama Mel Ramlan dan Izzy Musa, terbitan Kasi Gegar Entertainment (KGE).
Ditanya mengapa Aizat lama tidak muncul dengan mana-mana single, dia punya alasan sendiri.
“Saya kurang gemar dengan ‘rilisan’ lagu yang bertubi-tubi dan lebih rela mengambil masa merangka apakah langkah seterusnya dalam kerjaya sebagai penyanyi.
“Sebagai contoh, saya menghadkan kepada penghasilan lima buah lagu sahaja dalam setahun,” ujarnya.
Berbalik pada single, Aizat berkongsi idea tercetusnya lagu Tegap Berdiri berasal dari minatnya terhadap sukan Muay Thai yang diluahkannya ketika sesi rakaman “Dari Studio Podcast”.
“Uniknya lagu ini lahir secara tidak sengaja ketika saya mengendalikan sesi podcast bersama Mel dan abang saya, Amar.
“Ketika itu, kami berbincang tentang hal-hal semasa, tentang zaman kegemilangan sukan bola sepak negara di sekitar 1998, terdetik di hati, sekalipun kalah ‘di akhir nanti kau masih tegap berdiri’ yang menjadi bait-bait lirik lagu saya.
“Mesej lagu ini tentang perjuangan, ada kalanya menang dan ada kalanya kalah dalam hidup, sudah menjadi lumrah kehidupan di mana ada pasang surutnya, kadangkala naik dan turun, namun apa yang penting, kehidupan perlu diteruskan dengan minda yang positif,” ulasnya.
Aizat turut berkongsi single ini mengambil masa hampir setahun untuk dihasilkan.
Setelah melalui proses perbincangan, dengan minat terbaharunya dalam sukan Muay Thai, akhirnya lagu ini dipilih sebagai hantaran halwa telinga semua pendengar.
“Kali ini saya bawakan lagu dalam genre pop dengan pengaruh muzik ‘City Pop’ yang popular disekitar tahun 80-an di Jepun.
“Saya olahkannya dalam versi sendiri dengan melodi masa kini, lalu saya gelarkannya ‘KL-City Pop’,” jelasnya.
Selain single, sebuah video muzik (MV) yang berkonsepkan cereka pendek turut dihasilkan.
“MV ini mengisahkan perjalanan saya ketika mula-mula menceburi sukan Muay Thai, dari latihan yang ‘biasa-biasa’ sehinggalah ‘fight’ saya yang pertama.
“Memang nampak senang, tetapi realiti sebenar dunia olahraga penuh dengan kerja keras, sangat menguji dan mencabar fizikal serta minda.
“Di antara Aizat AF, Ai.Z mahupun Aizat Amdan, semuanya berpaksi pada seni karya yang satu.
“Saya cuba jadi diri sendiri, versi diri saya yang paling asli, dan tranformasi itu penting buat semua orang kerana ada ‘growth’ disitu dan saya suka tonjolkan beberapa sisi lain Aizat Amdan, kerana semua yang saya lakukan adalah atas nama seni.
“Saya berharap agar semua yang mendengar single ini akan terhibur. Dengarkan ketika bersenam, sama ada di rumah mahupun gim, ataupun ketika merasa ‘down’.
“Ingatlah untuk mencabar diri dengan sesuatu yang baharu, biarpun kalah namun bangkit semula dan ‘tegap berdiri’,” ungkapnya.
Tegap Berdiri boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi kesemua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music, dan YouTube Music.
Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube OfficialAizatAmdan.