JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan migran warganegara Indonesia dalam Operasi Khas pada 11 November lalu di Kajang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula pada jam 6 petang melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya. 

Katanya, berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan mengekori sebuah kenderaan yang mencurigakan. 

“Pasukan operasi telah menahan kenderaan tersebut di sebuah premis kediaman yang dijadikan ‘rumah penampungan’ dan berjaya menahan seorang lelaki warganegara Indonesia yang dikenali sebagai ‘Jon’ disyaki sebagai ‘transporter’ berusia 42 tahun. 

“Pasukan operasi turut melakukan pemeriksaan ke atas premis kediaman tersebut dan berjaya menahan dua orang ‘ahli sindiket’ merupakan lelaki warganegara Indonesia yang disyaki sebagai penjaga premis berusia 20 dan 41 tahun. 

“Turut ditahan 21 lelaki dan lima perempuan warganegara Indonesia berusia di antara 21 hingga 50 tahun. Jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 29 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, hasil semakan awal mendapati 13 warganegara Indonesia telah tinggal lebih masa manakala warganegara Indonesia yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini.

Katanya, pasukan operasi telah merampas 14 naskhah pasport Indonesia, wang tunai sebanyak RM13,430 dan menyita sebuah kenderaan jenis Toyota Vios yang dipercayai untuk mengangkut pendatang asing tanpa izin (PATI).

Jelas beliau,  modus operandi sindiket adalah dengan membawa masuk dan keluar warganegara Indonesia melalui pintu masuk yang tidak diwartakan. 

“Warganegara asing akan ditempatkan sementara di sebuah ‘rumah penampungan’ sebelum dibawa ke lokasi tertentu menggunakan kenderaan. 

“Sindiket ini mengenakan bayaran sebanyak RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap seorang dan telah beroperasi selama enam bulan. 

“Seorang lelaki warganegara Indonesia ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 26J dan dua lelaki warganegara Indonesia ditahan kerana disyaki di bawah Seksyen 26H Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,”  katanya.

Beliau menambah, kesemua migran warganegara Indonesia ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.  

Katanya, jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram