Phaphunda merupakan sebuah perkampungan kecil di wilayah Uttar Pradesh di India. Rata-rata penduduknya golongan petani dan penternak. Pada Jun 2009, bandar kecil itu dikejutkan dengan kematian sepasang kekasih, Lokesh dan Amreen.

Lokesh, seorang teruna yang sering datang ke rumah Amreen untuk membeli susu. Dari situ, cinta mereka berputik. Hanya satu kesalahan mereka, pegangan agama yang berbeza! Lokesh, seorang pemuda Hindu yang mencintai Amreen, seorang gadis beragama Islam. Sudah tentu kedua-dua keluarga tidak mengizinkan hubungan mereka terjalin.

Namun, kerana cinta, pasangan ini tetap berkahwin. Akibatnya, mereka diberi kata dua. Putuskan hubungan itu atau kedua mereka dijatuhkan hukuman bunuh.

Apa pilihan Lokesh dan Amreen? Jika berpisah, mereka merana di dunia ini. Jika dibunuh, ia cara kejam untuk memisahkan mereka. Oleh itu, pasangan ini sepakat biarlah mereka mati bersama daripada dibunuh oleh mereka yang mahu memusnahkan cinta agung mereka. Pasangan ini mengakhiri riwayat mereka dengan meneguk racun bersama-sama, sama seperti pengakhiran Romeo dan Juliet.

Lain pula di Sarajevo, ibu negara Bosnia yang pernah menjadi lambang kekejaman tentera Serbia. Di sini tercatat kisah percintaan Bosco Brkic, seorang pemuda Serbia yang mencintai Admira Ismic, gadis Islam Bosnia. Jambatan Vrbanja menjadi saksi yang memahat kisah cinta tragis pasangan ini yang penuh konflik kerana perbezaan agama. Tambahan pula ketika itu puak Serb dan Bosnia sedang bermusuh antara satu sama lain.

Demi cinta, pasangan ini melewati jambatan Vrbanja untuk menuju ke daerah Grbavica. Tujuan mereka untuk menghindar konflik peperangan dan hidup bahagia merencana masa depan.

Tetapi, rancangan mereka tidak kesampaian. Di atas jambatan itu, mereka ditembak oleh penembak hendap. Brkic mati di situ juga, sementara Ismic yang cedera parah dan berlumuran darah mendekati Brkic, memeluk erat tubuh kekasihnya sehingga dia menghembuskan nafas terakhir di situ juga selepas dibedil tembakan bertubi.

Bosco dan Admira, kisah cinta terlarang yang tercatat di jambatan Vrbanja di Sarajevo.

Ini pula kisah di Amerika Syarikat. Mahmoud Ayazi,31, seorang pemuda Iran, sudah lapan tahun tinggal dan bekerja di California. Dia pulang ke Iran untuk bernikah dengan Kataun Safaie, gadis berusia 20 tahun. Pasangan ini saling mencintai satu sama lain.

Tiga minggu setelah berkahwin, pada Januari 1985, Mahmoud membawa isterinya meninggalkan Iran untuk memulakan hidup baru di Amerika. Namun, ia tidak semudah disangka. Ketika transit di Jerman, hanya Mahmoud seorang yang mendapat pelepasan untuk terbang ke Amerika, sementelah dia telah mempunyai ‘green card’. Tetapi isterinya tidak mendapat kelulusan dan perlu menunggu satu tahun sebelum boleh diberi visa untuk ke Amerika.

Berpisah setahun? Keduanya tidak sanggup. Mahmoud buntu sebelum akhirnya melakukan kerja gila. Dia membeli satu tiket ke Amerika, hanya untuk dirinya.

Kataun? Percaya atau tidak, Kataun diseludup masuk melalui bagasi Mahmoud. Tubuh isterinya yang kecil mudah disembunyikan dalam bagasinya. Namun, perjalanan selama 11 jam telah meragut nyawa Kataun. Wanita itu mati kerana sesak nafas, ditambah begnya yang terhimpit dengan beg berat bertimpa-timpa.

Apabila mendapati isterinya sudah tidak bernyawa, Mahmoud meninggalkan beg berisi mayat isterinya di lapangan terbang California. Tiga hari kemudian, mayat Mahmoud pula ditemui dalam sebuah kenderaan dengan kesan luka tembakan pada kepalanya. Lelaki itu membunuh diri kerana kesal dengan apa yang telah berlaku hingga menyebabkan kematian isterinya.

Ini pula kisah Dave dan Patti Stevens. Percintaan mereka bermula selepas hari graduasi, melalui fasa perkahwinan yang membahagiakan selama 25 tahun. Cinta mereka terus utuh hinggalah pada tarikh 12 Oktober 2015, mayat Dave ditemui dalam keadaan mengerikan setelah dibunuh semasa dia sedang berjoging.

Kematian suaminya membuat dunia Patti terasa hancur. Dia tidak dapat menerima hakikat hidup seorang diri tanpa Dave di sisinya. Kerana tertekan, Patti mengasingkan diri. Tidak mahu makan dan tidur.

Dua minggu kemudian, polis datang ke kediamannya di Dallas, Amerika Syarikat setelah menerima aduan dari kenalan Patti yang mengatakan wanita itu tidak dapat dihubungi. Polis menemui mayat Patti, terbaring di lantai garaj rumahnya. Wanita itu dipercayai mati membunuh diri kerana mengurung dirinya di dalam ruang yang dipenuhi gas karbon monoksida.

Dave dan Patti Stevens

Lain pula kisah Earl Myatt dan Mary yang bertemu seawal usia 17 tahun dan melayari bahtera perkahwinan selama 42 tahun. Kesedihan bermula apabila Mary disahkan menghidap aneurisme otak dan memerlukan beberapa siri pembedahan.

Sejak sakit, Mary sukar menguruskan diri sendiri dan tidak mampu bergerak tanpa bantuan. Keadaan ini bukan hanya membuat Mari jadi murung, bahkan suaminya Earl juga terasa seperti hilang separuh jiwa melihat isteri yang dicintainya menderita begitu.

Penghujung April 2014, Earl membawa Mary ke sebuah landasan kereta api. Earl sempat menelefon salah seorang anak lelakinya dan memberitahu, dia meminta maaf dan menyayangi mereka, sebelum memutuskan talian.

Di landasan itulah, Earl mengorbankan dirinya dan Mary untuk dilanggar kereta api. Saat terakhir, Earl memeluk isterinya erat-erat sebelum keduanya menemui ajal di situ. Mungkin Earl mengambil keputusan untuk menamatkan riwayat mereka berdua kerana tidak sanggup melihat penderitaan isterinya lagi.

Earl Myatt dan isterinya, Mary.

Ini pula kisah cinta antara dua benua. Pada Julai 2013, Arianne Willinger, 34, wanita Amerika yang mengikuti rombongan rakan senegaranya melawat Agra, di India. Agra yang dikenali sebagai bandar simbol cinta dengan monumen Taj Mahal, telah mengikat hati Arianne terhadap pemuda tempatan bernama Bunty Sharma, berusia 32 tahun.

Selepas kumpulannya pulang ke negara asal, hanya Arianne yang terus tinggal di bandar itu. Mereka jatuh cinta dan dalam masa yang singkat, pada Oktober, mereka berkahwin dengan berlatarbelakangkan Taj Mahal sebagai saksi cinta mereka.

Ternyata cinta antara dua benua bukan mudah seperti disangka. Perbezaan agama dan budaya menyebabkan kedua-duanya sering bertengkar. Bulan Disember, pasangan ini hidup berasingan.

Arianne turut bertemu kaunselor perkahwinan untuk mendapat khidmat nasihat. Dalam tempoh itu, kedua mereka selalu terserempak sehinggalah pada suatu petang dalam bulan Februari 2014, Bunty mengajak Arianne keluar. Dan itulah kali terakhir kelibat wanita Amerika itu kelihatan di Agra.

Bunty menikam isterinya itu sehingga mati dan mayatnya dicampak ke dalam belukar. Selepas membunuh isterinya, Bunty pulang ke rumah dan mengurung dirinya di dalam bilik sebelum tidak lama kemudian, kawasan itu kejutkan dengan bunyi letupan. Bunty membunuh diri dengan melepaskan gas masakan sebelum menyalakan api kerana terlalu kecewa.

Bunty dan Arianne.

Kerana cinta ku turutkan. Kerana cinta ku korbankan. Tapi, awas! Kerana cinta juga mendatangkan bahana, akhirnya nyawa ikut melayang.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram