Screenshot

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerima Anugerah Khas Biduan Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024 (ASN 2024) anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, di Hotel Majestic, ibu negara, malam ini.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan kepada anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.

Sempena gelaran Biduan Negara itu, Siti membawa pulang wang tunai RM30,000, kain songket, watikah serta trofi dan status sebagai Seniman Tamu.

Terdahulu, Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin turut melancarkan sebuah lagu baharu yang berjudul Sejarah.

Katanya, lagu berkenaan ditujukan khas untuk peminatnya.

“SN Legacy Sdn Bhd & Universal Music Sdn Bhd menerbitkan buah tangan terbaharu, Sejarah.

“Khas buat seluruh peminat Datuk Seri Siti Nurhaliza dan pencinta muzik di mana sahaja,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

ASN 2024 adalah penghormatan tertinggi kerajaan kepada penggiat seni atas sumbangan dalam bidang kesenian negara, mampu melonjakkan tokoh seni tempatan sebagai seniman bertaraf dunia.

Untuk rekod, ASN sudah diadakan sebanyak lapan edisi bermula 1993, 1995, 1997,1999, 2002, 2004, 2006 dan kali terakhir penganjurannya adalah pada 2009 dengan tokoh pernah menerima ASN ialah Tan Sri Dr Jins Shamsudin (Seni Lakon & Perfileman), Tan Sri Dr Ahmad Nawab (Seni Muzik) dan Abdul Rahman Abu Bakar (Seni Teater Bangsawan).

ASN diperkenalkan pada 1993 untuk mengiktiraf pencapaian menakjubkan penggiat seni dalam pelbagai cabang seni seperti muzik, tari, lakon, kraf dan seni visual.