PELAWAK Shuib dan syarikat minuman miliknya, Bubblebee Sdn. Bhd. didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, masing-masing atas enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan dan penalti berjumlah RM1.6 juta sepanjang tahun lepas.
Bagaimanapun, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 40, selaku pengarah syarikat berkenaan mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Turut didakwa atas pertuduhan sama ialah pengarah syarikat tersebut, Koh Choon Guan, 33, yang juga mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan terbabit.
Mengikut enam pertuduhan itu, mereka selaku Orang Berdaftar di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807) masing-masing didakwa telah gagal membayar cukai perkhidmatan masing-masing berjumlah RM217,542.62 bagi tempoh bercukai 1 Januari 2023 sehingga 28 Februari 2023 dan penalti yang perlu dibayar kepada Ketua Pengarah Kastam sebanyak RM87,017.04; RM217,592.56 (1 Mac 2023 sehingga 30 April 2023 dengan penalti RM87,037.02); RM190,848.35 (1 Mei 2023 sehingga 30 Jun 2023 dengan penalti RM76,339.34).
Selain itu mereka selaku orang kena saman (OKS) turut didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan masing-masing berjumlah RM268,353.06 bagi tempoh 1 Julai 2023 sehingga 31 Ogos 2023 dan perlu membayar penalti sebanyak RM107,341; RM146,870.03 (1 September sehingga 30 Oktober 2023 dengan penalti RM58,748) dan RM149,947.16 bagi tempoh 1 November sehingga 31 Disember 2023 dengan penalti RM37,486.79.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Cawangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang, Bangunan Old Putra Association Lingkungan Golf Saujana Resort, Sek U2, Shah Alam di Selangor antara 1 April 2023 sehingga 1 Februari 2024.
Justeru, mereka didakwa mengikut Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dibaca bersama Seksyen 78 akta yang sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Wan Abd Rahim Wan Mahamood dan Nur Amalina Ahmad Nazeri menawarkan jaminan berjumlah RM15,000 bagi kesemua pertuduhan ke atas setiap tertuduh dengan alasan cukai yang tidak dibayar itu adalah dengan jumlah yang tinggi.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Firdaus Shaik Alauddin yang mewakili Shuib, Choon Guan dan Bubblebee membantah permohonan jaminan pihak pendakwaan ekoran pertuduhan yang dikenakan ke atas anak-anak guamnya bukanlah kes jenayah mengikut Kanun Keseksaan sebaliknya ia merupakan kes saman.
“Anak-anak guam tidak mempunyai risiko melarikan diri dan berjanji akan menghadiri tarikh perbicaraan yang ditetapkan oleh mahkamah.
“Mohon agar permohonan pihak pendakwaan untuk mengikat jamin anak-anak guam ditolak,” katanya.
Susulan itu, Hakim Rasyihah membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 terhadap Shuib dan Choon Guan dengan seorang penjamin selain menetapkan 18 Disember depan bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini pada Isnin lalu, syarikat minuman berkenaan Syarikat Bubblebee Sdn Bhd didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tahun lalu.
Shuib dan Choon Guan yang mewakili syarikat tersebut selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Ameera Mastura Khamis.