“Tak salahkan mencuba sesuatu yang baru?” . Demikan pertanyaan penyanyi Muna Shahirah apabila diminta mengulas mengenai single Datanglah Sayang yang bergenre dangdut.
Dilancarkan sejak Disember lalu, Muna atau Muna Shahirah Munadi,31, tidak kisah membawakan pelbagai genre memandangkan sebagai penyanyi perlu untuk dia kekal versatil dalam industri.
“Sebenarnya saya tiada masalah untuk bawa sebarang genre lagu termasuklah tradisional atau dangdut. Sebab bagi saya sebagai penyanyi kena berani dan versatil barulah boleh bertahan lama dalam industri ini.
“Kalau setakat boleh nyanyi satu genre saja, jawapnya susah la kalau ada tawaran persembahan yang memerlukan kita nyanyi pelbagai jenis lagu. Jadinya, saya memang dah bersedia dari awal lagi,” katanya.
Muna yang telah mendirikan rumah tangga bersama seorang lelaki berbangsa Cina-Muslim, Sean Tee YeuTerng Abdullah,27, pada May 2023, amat selesa dengan kehidupannya yang kini sebagai suri rumah tangga disamping kerjaya sebagai penyanyi.

“Alhamdulillah Sean tak pernah melarang saya untuk menyanyi, malah dia selalu bagi galakkan. Apa yang saya suka buat, Sean tak pernah halang selagi ia bukan perkara yg salah atau mengaibkan keluarga.
“Sebenarnya, ini tahun kedua saya bersama keluarga suami merayakan Tahun Baru Cina. Ini pengalaman merayakan Tahun Baru Cina agak menarik.
“Sebab saya dapat belajar sesuatu yang baru di luar kebiasaan dari tradisi kita. Alhamdulillah, keluarga Sean memahami anak mereka telah memeluk Islam dan mereka dah tahu apa yang boleh dan tidak untuk kami.
“Tapi serius, memang sangat meriah. Terutamanya tahun lalu, sebab itu tahun pertama Muna hadir sebagai menantu dalam keluarga mereka dan meraikan Tahun Baru Cina buat pertama kali bersama mereka,” kongsinya.
Muna yang kelihatan sedikit berisi merasa sangat bahagia walaupun telah berumah tangga kerana dia masih menerima tawaran persembahan dan FMC Music masih memberi kepercayaan kepadanya untuk muncul dengan single baharu yang sememangnya salah satu genre kegemarannya
“Saya memang berisi sikit tapi bukan mengandung, mungkin belum ada rezeki lagi. Sebab setelah berkahwin saya banyak waktu terluang.
“Bila hari yang tiada show tu memang saya berehat saja di rumah sambil mendalami ilmu agama. Mungkin sebab itu badan naik sikit. Sekarang ni saya kena banyak tahu tentang agama terutamanya tentang Fardhu Ain dan lain-lain sebab kalau Sean tak pasti tentang apa-apa dia akan tanya saya dulu. Jadinya, saya memang kena siapkan diri,” jelasnya.
Muna berharap agar single ciptaan Mas Dewangga,Jova Devito dan Sabbala itu diterima pendengar dan peminat.

