DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta untuk menyelesaikan proses naik taraf Jalan Melayu berdekatan Jalan Masjid India di ibu negara menjelang bulan Ramadan nanti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dalam hantaran di Facebook memaklumkan, beliau sempat meninjau kemajuan naik taraf projek berkenaan susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
“Saya juga sempat memantau persediaan Kepengerusian ASEAN serta meninjau juga kemajuan naik taraf Jalan Melayu susulan dari lawatan turun padang Perdana Menteri baru-baru ini.
“Saya minta DBKL untuk memastikan perubahan kepada Jalan Melayu ini selesai sebelum menjelang Ramadan tahun ini,” katanya dalam hantaran tersebut, hari ini.
Pada 10 Januari lalu, Perdana Menteri dilapor meminta DBKL turun padang meninjau kawasan perniagaan yang usang, uzur dan memerlukan penambahbaikan di sekitar Jalan Masjid India.
Susulan itu, DBKL memaklumkan selepas kerja naik taraf selesai, kawasan gerai penjaja di sekitar Jalan Melayu dan Jalan Masjid India akan tampil dengan wajah baharu yang lebih menarik, bersih dan teratur.
Baca artikel lain: PM minta DBKL baiki kawasan perniagaan uzur di Jalan Masjid India
Terdahulu, Dr Zaliha turut menyempurnakan pelepasan program Bersih-KAL dan Kempen Sifar Sisa di bandar raya Kuala Lumpur di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, awal pagi hari ini.
Beliau berkata Bersih-KAL adalah satu daripada program sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 yang merupakan perpanjangan kepada program Bersih Setiap Tempat (BeST) yang beliau lancarkan baru-baru ini.
“Kuala Lumpur ini ibu kota dan patut dijadikan contoh dalam pelbagai perkara termasuk terkait keseimbangan dan kemampanan tamadun sesebuah bandar.
“Justeru, saya selalu tekankan kepentingan kebersihan sebagai aspek utama selaras dengan visi Bandar CHASE, iaitu satu daripada komponennya adalah Clean City atau Bandar Bersih, sebagai elemen tunjang kepada bandar yang mampan dan berdaya huni,” katanya.
Beliau berkata program seumpama itu adalah manifestasi kepada nilai MADANI yang acap kali ditekankan oleh Perdana Menteri iaitu sesebuah bandar tidak hanya fokus kepada pembangunan fizikal seperti pencakar langit yang tinggi, tetapi perlu memberi penekanan kepada aspek islah kepada ketamadunan rakyatnya, termasuklah dalam aspek kebersihan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

