Tiada langsung orang miskin, hebatnya kota Damsyik sewaktu zaman Umar Abdul Aziz

Dari Penulis

Apabila disebut Khalifaur Rasyidin, maka rujukannya adalah kepada empat khalifah pertama iaitu Sayidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayidina Umar ibn Khattab, Sayidina Usman ibn Affan dan Sayidina Ali ibn Abu Talib.

Tetapi sering kali juga ditemui dalam buku-buku sejarah Islam menamakan seorang lagi khalifah yang digelar juga sebagai salah seorang daripada Khalifaur Rasyidin. Beliau adalah Sayidina Umar ibn Abdul Aziz.

Umar Abdul Aziz adalah seorang khalifah daripada Bani Umayyah yang memerintah dari kota Damsyik. Apa yang menjadikan beliau terkenal dan ditempatkan juga dalam senarai Khalifaur Rasyidin ialah berkaitan dengan dua perkara berikut.

Pertama, kejujuran dan sifat amanahnya dalam menjadi pemerintah Islam. Kedua, kemakmuran wilayah pemerintahannya hingga tiada orang miskin.

Sifat amanah Khalifah Umar Abdul Aziz terserlah dalam ketelitiannya menggunakan hak milik kerajaan. Beliau memisahkan dengan jelas apa yang dimilikinya secara peribadi, dengan apa yang merupakan harta awam.

Apabila menjalankan urusan pentadbiran, beliau menggunakan lilin milik kerajaan. Tetapi sebaik saja beliau perlu menguruskan hal-hal peribadi, maka lilin milik kerajaan itu dipadamkan, dan digantikan pula dengan lilin milik peribadinya.

Sementara kisah mengenai keprihatinannya terhadap kebajikan rakyatnya berkisar kepada soal pembahagian zakat dari Baitulmal. Menurut riwayatnya, Khalifah Umar memeriksa Baitulmal yang menyimpan kutipan zakat di kota Damsyik. Beliau mendapati terdapat lagi harta dalam Baitulmal itu.

Maka beliau memanggil amil supaya membahagi-bahagikan harta itu kepada orang miskin. Amil-amil itu pun berjalan ke seluruh kota Damsyik dan mendapati bahawa tidak ada lagi orang miskin di kota itu. Ini menunjukkan betapa makmurnya kota Damsyik.

Dari segi sejarah, Khalifah Umar Abdul Aziz bukanlah sebahagian daripada Khalifaur Rasyidin. Ini kerana Khalifaur Rasyidin adalah nama bagi empat khalifah pertama yang memerintah negara Islam dari Madinah.

Apabila pemerintahan Islam berpindah dari Madinah ke Damsyik, maka cara pemerintahannya juga berubah menjadi seperti dinasti dan empayar. Sedangkan konsep khalifah, khilafah dan kekhalifahan yang ditunjukkan oleh empat ketua negara Islam yang awal adalah berbeza.

Maka secara umumnya, sejarah pemerintahan Islam terbahagi kepada lima iaitu, pada zaman Rasulullah s.a.w., Khulafaur Rasyidin, Khilafah Umayah, Khilafah Abasiah dan Khilafah Usmaniah.

Umayyah, Abasiah dan Usmaniah mengambil sempena keluarga asal khalifah-khalifah itu. Tetapi Rasyidin bukan berasal nama keluarga. Ahli sejarah Islam daripada kalangan Sunnah wal Jemaah memberi nama Rasyidin kepada empat khalifah itu, yang bermakna ‘memperoleh petunjuk’. Jadi mereka ialah khalifah yang diberi petunjuk. Maka dalam maksud inilah Umar ibn Abdul Aziz ditempatkan dalam senarai ini sedangkan berpuluh-puluh lagi khalifah dalam senarai Umayah, Abassiah dan Usmaniah tidak mendapat kedudukan ini.

Kisah-kisah kejujuran, amanah dan kemakmuran Damsyik itu adalah antara yang menunjukkan mengapa Umar Abdul Aziz dianggap juga sebagai khalifah yang memperoleh petunjuk dan berada dalam senarai sahabat-sahabat utama nabi iaitu Abu Bakar, Usman, Umar dan Ali.

Pemisahan harta awan dan peribadi

Dalam sistem pentadbiran moden hari ini, pemisahan antara hak awam dan milik perseorangan adalah jelas. Begitu juga, apa yang dimiliki oleh seseorang raja berperlembagaan atau penjawat awam secara peribadi dibezakan dengan jelas daripada hak kerajaan.

Tetapi pada zaman pramoden tidak ada perbezaan antara hak milik seseorang raja dengan kerajaan. Keseluruhan negara adalah milik raja. Maka tidak ada perbezaan antara hak raja dan milik awam. Rakyat itu pun milik raja.

Tetapi Rasulullah s.a.w tidak menganggap dirinya sebagai raja. Baginda adalah Rasul Allah. Dalam fikah, milik peribadi dan awam jelas dibezakan. Sesiapa yang berkuasa tidak boleh mengambil hak awam sewenang-wenangnya.

Maka pengganti Rasulullah s.a.w dipanggil khalifah, atau nama penuhnya ialah Khalifatur Rasulullah. Khalifah bukan raja. Mereka adalah pengganti Rasulullah s.a.w sebagai ketua ummah.

Tetapi selepas empat khalifah yang awal, pemerintahan negara Islam berpindah ke Bani Umayyah, bermula daripada Sayidina Muawiyah, seorang sahabat Rasulullah s.a.w. Walaupun jawatan itu merupakan khalifah, tetapi ciri-ciri kerajaan dan dinasti mula menyerap masuk ke dalam pemerintahan Bani Umayah. Jawatan khalifah diwarisi secara turun-temurun seperti raja.

Bani Umayyah juga muncul seperti dinasti. Khilafah atau kekhalifahan sudah menjadi seperti empayar. Walaupun khilafah masih berbeza daripada kerajaan biasa kerana syariah dilaksanakan tetapi ciri-ciri empayar timbul juga dalam zaman Umayah.

Bukan saja Umayyah tetapi juga khilafah selepas itu, iaitu Abassiah dan Usmaniah. Maka dalam hal ini, ahli sejarah meletakkan kekecualian pada Khalifah Umar Abdul Aziz.

Sebab itu, dalam sejarah Islam, para ulama menyebut dua Umar sebagai tokoh hebat. Dua Umar itu merujuk pada khalifah ketiga, Umar ibn Khattab dan Umar Abdul Aziz.

Beliau adalah khalifah Bani Umaiyyah yang kelapan. Kalau dimasukkan sekali dengan Khulafaur Rasyidin, Khalifah Umar Abdul Aziz adalah khalifah ke-12. Ketika itu wilayah yang diperintah sudah begitu luas, meliputi keseluruhan Hijaz hingga ke Yemen. Juga Syam yang meliputi Palestin. Wilayah Iraq hinggakan Parsi.

Di sebelah barat, pemerintahannya meliputi Afrika Utara, bermula daripada Mesir. Negara Umayah ini ditadbir menurut wilayah yang diketuai oleh gabenor masing-masing yang perlu menjawab pada khalifah. Mereka dihubungi dengan laluan dagang dan ketenteraan.

Di bawah Bani Muawiyah

Daulah Islamiah di bawah Bani Muawiyah menikmati perdamaian dan  kemakmuran melalui perdagangan yang membawa barangan pertanian, perlombongan dan pembuatan. Keadaan ini memberi kemakmuran kepada kota Damsyik.

Baitulmal yang bermaksud Rumah Wang atau perbendaharaan penuh dengan dana yang dikutip daripada zakat. Wang zakat itulah dibayar untuk golongan asnaf. Umar Abdul Aziz diriwayatkan bahawa dana itu bukan untuk simpanan tetapi wajar diagihkan secepat mungkin pada golongan asnaf yang diperlukan. Apabila di Damsyik tidak ada orang memerlukan wang bantuan, maka ia bermakna kota itu makmur.

Perlu diingat bahawa dalam sistem kekeluargaan Islam, semua anggotanya mempunyai wali dan waris. Maka setiap anggota masyarakat ditanggung oleh keluarganya menurut pertalian wali dan waris. Jika masyarakat itu makmur, maka seseorang tidak perlu mengharapkan bantuan Baitulmal kerana tentu ada saja anggota keluarga yang mampu menanggung mereka.

Pada zaman itu, Damsyik seperti bandar-bandar utama lain didirikan dalam bentuk kota. Ini bermaksud ia mempunyai tembok mengelilinginya, dan beberapa pintu besar yang kesemuanya dikawal ketat oleh askar pemerintah. Sistem ini menjadikan kota itu selamat daripada serangan darat.

Pertahanan dan penaklukan adalah amalan biasa pada zaman itu. Jika kalah perang, penduduk kota boleh jatuh jadi hamba dan harta mereka jadi rampasan perang. Dalam fikah, terdapat peraturan yang ketat dan terperinci supaya tidak berlaku kezaliman. Harta rampasan perang itu juga perlu dibuat pembahagian menurut peraturan.

Antara peruntukannya ialah harta rampasan perang adalah asasnya hak milik awam. Kecuali senjata atau peralatan tentera pihak musuh terkorban menjadi milik askar Muslimin yang terlibat dengan peperangan itu.

Selain itu ada harta milik musuh yang diperolehi tanpa melalui peperangan, umpamanya hasil daripada rundingan. Harta ini menjadi hak awam. Harta-harta awam inilah menjadikan Damsyik makmur pada zaman Umayah itu. –  Zin Mahmud

__

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

“Saya bukan main jin!” Tok Dewata bongkar rahsia seni persembahan ‘Main Teri’

Nama Tok Dewata kembali menjadi bualan hangat apabila seni persembahan Main Teri yang melibatkan beliau tular di media sosial.  Namun...

More Articles Like This