Madame Dimanche, juga digelar ‘Janda Ahad’ (Widow Sunday) adalah seorang wanita Perancis yang hidup pada awal abad ke-19. Kisah wanita ini mula mendapat perhatian apabila ada sebatang tanduk tebal tumbuh di dahinya ketika dia berusia 70-an.
Pada awalnya, Madame Dimanche tidak tahu apa benjolan aneh berwarna coklat yang mula muncul di tengah dahinya. Pada peringkat awal, dia cuba menyembunyikan ketumbuhan tersebut. Tetapi, semakin lama apabila ketumbuhan yang membentuk seperti tanduk itu kian besar dan panjangnya hampir mencapai 10 inci, dia tidak mampu lagi untuk menyorokkannya.
Selama enam tahun tanduk itu tumbuh sehingga panjangnya menjangkau 9.8 inci, tanduk itu berjaya dibuang melalui satu pembedahan yang dijalankan seorang pakar bedah Perancis bernama Br. Joseph Souberbeille.
Patung lilin yang menggambarkan bahagian kepala Madame Dimanche dengan tanduknya kini dipamerkan di Muzium Mutter di Philadelphia, Amerika Syarikat.

Kisah manusia bertanduk sudah sering dilaporkan sejak dahulu lagi. Pada tahun 2015, seorang wanita berusia 87 tahun, Liang Xiuzhen dari Sichuan, China, mengunjungi doktor kerana terdapat tanduk sepanjang lima inci tumbuh dari atas kepalanya.
Menurut laporan, ‘tanduk’ itu mula tumbuh kira-kira lapan tahun sebelumnya yang asalnya hanya kelihatn seperti ketuat hitam. Namun, pada tahun 2013, ketuat itu pecah dan tanduk mulai keluar. Tidak lama selepas itu, tanduk tersebut jatuh. Namun, tanduk baru pula mula tumbuh menggantikan yang lama dan ia berkembang dengan lebih cepat.
Hasil diagnosis pakar perubatan, mereka mendapati tanduk itu kandungannya sama seperti yang ada pada kuku jari, dikenali sebagai keratin. Kebanyakan kes seperti ini tidak berbahaya, namun doktor agak ragu-ragu untuk membuang tanduk Liang kerana risau ia mungkin bersifat kanser.
Liang bukan satu-satunya individu yang mengalami fenomena tanduk manusia. Malah, beberapa warga emas dari China pernah menarik perhatian dunia dengan pertumbuhan tanduk mereka.
Pada tahun 2010, seorang nenek berusia 101 tahun dari China, Zhang Ruifang, mendapat perhatian kerana mempunyai dua tanduk yang tumbuh di dahinya. Tanduk pertama mencapai panjang hampir 2 ½ inci, sementara tanduk kedua baru sahaja mula tumbuh. Beliau dilaporkan telah menolak tawaran untuk membuang tanduk tersebut.

Pada Oktober 2007, seorang wanita berusia 95 tahun dari China bernama Xiou Ling, memperagakan tanduknya sepanjang 6 ½ inci yang tumbuh menonjol dari dahi dan melengkung ke bawah di atas wajahnya. Tanduk itu telah berkembang selama empat tahun.
Kemudian, seorang lelaki berusia 93 tahun juga dari China bernama Ma Zhong Nan, menarik perhatian media kerana tanduk sepanjang 4 inci yang tumbuh di atas kepalanya.
Fenomena manusia bertanduk bukanlah sesuatu yang baru. Pada tahun 1930, Robert Ripley memperkenalkan seorang petani Manchuria bernama Wang kepada dunia dengan gelaran ‘Manusia Unicorn’ (The Human Unicorn).
Wang memiliki tanduk sepanjang 13 inci yang tumbuh di belakang kepalanya. Foto Wang telah diambil oleh seorang lelaki Rusia yang kemudian menghantar gambar tersebut kepada Ripley pada tahun 1930.

Tidak mahu sekadar bergantung kepada gambar, Ripley menghabiskan masa bertahun-tahun dengan menawarkan ganjaran besar kepada sesiapa yang dapat menjejaki Wang dan membawanya ke Amerika. Namun, tiada sesiapa yang berjaya menemui Wang.
Setahun sebelum penemuan Wang, Ripley telah menulis tentang seorang lelaki abad ke-16 bernama Francis Trovillou, yang juga dikenali sebagai ‘Lelaki Bertanduk dari Mezieres’.

Menurut sebuah buku yang diterbitkan pada tahun 1869, The Book of Wonderful Characters: Memoirs and Anecdotes of Remarkable and Eccentric Persons in All Ages and Countries (ditulis oleh Henry Wilson dan James Caulfield), tanduk Trovillou mula tumbuh pada usia 7 tahun. Tanduk itu memanjang dari dahinya dan melengkung ke belakang. Menjelang usia 35 tahun, tanduk itu digambarkan mempunyai ukuran dan rupa seperti tanduk kambing jantan.
Selain itu, banyak kes tentang fenomena tanduk manusia didokumentasikan dalam buku Anomalies and Curiosities of Medicine (1894) tulisan George Gould dan Walter Pyle. Dalam buku itu menyebut, salah satu kes tanduk yang paling luar biasa ialah kes Paul Rodrigues, seorang porter Mexico.
Paul Rodrigues digambarkan mempunyai tanduk dari bahagian atas dan sisi kepalanya, dengan lilitan sepanjang 14 inci yang disembunyikan dengan sentiasa memakai topi merah berbentuk khas.
Walaupun kebanyakan tanduk nampaknya tumbuh di kepala, Gould dan Pyle juga melaporkan beberapa kes tanduk pada alat kelamin lelaki. Salah seorang lelaki malang ini mula tumbuh tanduk pada usia 52 tahun. Dia telah disunat empat tahun sebelumnya dan kemudian satu tanduk kecil sebesar biji marmar mulai tumbuh di tempat luka sunat yang telah sembuh.
Dalam buku itu, Gould dan Pyle turut mencatatkan contoh-contoh tanduk yang tumbuh pada lengan, kaki, punggung dan puting susu.

____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

