MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya hari ini diberitahu bahawa unit anjing pengesan (K9) tidak dapat mengesan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin ketika melakukan pencarian pada siang, 6 Disember 2023 di sekitar kawasan aliran sungai di mana kanak-kanak itu ditemukan meninggal dunia pada malam hari yang sama.
Perkara itu dimaklumkan oleh Saksi Pendakwaan ke-20, anggota unit K9 dari Bukit Aman, Lans Koperal Aznizam Bah Jada, 29, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian pada perbicaraan hari kelapan kes pertuduhan pengabaian yang dihadapi ibu bapa Zayn Rayyan, di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Ketika memberikan keterangan, beliau memberitahu mahkamah bahawa dia bersama-sama tiga orang lagi anggota unit K9 dan dua ekor anjing, hasil pencarian di sekitar tebing aliran air sungai sehingga ke kawasan takungan air berdekatan Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai pada hari tersebut tidak membuahkan sebarang hasil.
Katanya, dia bersama pasukannya hadir ke lokasi kejadian di apartmen berkenaan sekitar jam 10.30 pagi sebelum berjumpa dengan Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Nor Zaharuddin Sanip yang memaklumkan kepadanya berhubung maklumat oleh penduduk yang ternampak Zayn Rayyan lari memasuki kawasan hutan dekat apartmen itu.
“Saya kemudian minta dengan beliau pakaian kanak-kanak hilang itu yang masih belum dicuci dan beliau serahkan kepada saya baju kanak-kanak tersebut. Saya kemudian memasukkan baju itu ke dalam plastik pembungkus selama 30 minit untuk mengeluarkan wap bau baju tersebut.
“Kemudian saya beri anjing kendalian saya untuk cium bau baju tersebut dan mengikut ke mana K9 saya bawa. Saya bersama seorang lagi anggota unit K9 dan dua lagi pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menjejaki (tracking) kawasan yang dikatakan Orang Hilang (OH) lari masuk ke dalam hutan.
“Selepas itu, kami melakukan pencarian di kawasan tebing sungai sehingga ke tempat air longkang jatuh. Kemudian saya patah balik dan pergi ke tempat yang ada tanaman pokok nanas, dan pokok pisang,” ujarnya.
Kamarul Iman: Apa hasil pencarian pada hari itu?
Aznizam: Hasil pencarian, anjing saya tidak memberikan sebarang indikasi positif di kawasan tersebut.
Kamarul Iman: Berapa lama pencarian dibuat oleh kamu ketika itu?
Aznizam: Lebih kurang sejam lebih
Kamarul Iman: Keadaan cuaca dan sekeliling ketika itu?
Aznizam: Cuaca terang dan panas, dan kawasan itu sunyi. Tiada apa-apa yang menganggu urusan saya melakukan tugasan.
Kamarul Iman: Keadaan orang ramai ketika itu? Lebih kurang berapa ramai?
Aznizam: Lebih kurang 20 orang yang sentiasa mengikuti kami dari belakang untuk mencari OH. Kebanyakkannya budak-budak dan lelaki dewasa.
Menurutnya lagi, anjing kendaliannya turut tidak memberikan sebarang indikasi positif ketika melakukan pencarian di sekitar bawah tebing sungai sehingga ke kawasan pagar zink berwarna biru serta pagar yang membahagikan kawasan perumahan berdekatan apartmen itu, selain di sekitar titi di bahagian hulu aliran anak sungai berkenaan dan di kawasan perumahan bersebelahan dengan Apartmen Idaman.
Ketika disoal oleh Kamarul Iman berhubung punca anjing pengesan gagal menunjukkan sebarang indikasi positif, saksi yang bertugas sebagai anggota unit K9 sejak lapan tahun lalu itu berkata, kawasan itu sudah tercemar dengan kehadiran orang awam dan anggota lain yang membantu mencari kanak-kanak hilang tersebut pada hari pertama pencarian.
Sementara itu, Saksi Pendakwaan ke-19 yang juga merupakan seorang lagi anggota unit K9, Lans Koperal Afendy Anak Henry yang hadir ke lokasi kejadian sekitar jam 11.30 malam tarikh sama, memberitahu mahkamah pencariannya yang bermula dari kawasan belukar kira-kira 20 meter dari Blok R sehingga ke anak sungai turut tidak membuahkan hasil.
Afendy menambah, dia telah diarahkan untuk hadir sekali lagi sekitar jam 10 malam pada 6 Disember 2023 namun mendapati kanak-kanak hilang tersebut telah ditemukan sejurus tiba di Apartmen Idaman.
Kamarul Iman: Selepas kamu tiba, apa yang telah ditugaskan kepada kamu?
Afendy: Pada hari tersebut, saya telah ditugaskan untuk mencari stoking mangsa.
Kamarul Iman: Apa hasil pencarian tersebut?
Afendy: Hasil pencarian di sepanjang sungai dari tempat mangsa dijumpai, jarak lebih kurang 100 meter, saya bersama K9 saya tidak menjumpai stoking tersebut.
Ketika pemeriksaan balas oleh Peguam Haresh Mahadevan, beliau meminta pengesahan daripada Aznizam sama dia ada melakukan pencarian bersama anjing pengesannya di persekitran Blok R, saksi itu menjawab, “betul,”.
Haresh: Tapi tidak membuat pengesanan dari aras ke aras blok tersebut?
Aznizam: Tidak.
Bagaimanapun, dalam pemeriksaan semula oleh Kamarul Iman yang meminta penjelasan Aznizam kenapa tidak membuat pencarian ke setiap aras Blok R, saksi itu memberitahu bahawa pihaknya perlu mendapatkan kebenaran daripada Nor Zaharudin.
“Jika beliau beri arahan untuk kesan dari tingkat ke tingkat, di sana ramai penduduk muslim, dan kami tak mahu sebarang isu timbul, jadi kami hanya mampu buat di bawah sahaja,” ujarnya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi Jumaat ini sementara hakim itu akan ke lokasi kejadian di Apartmen Idaman, pagi esok.
Pada 13 Jun 2024, bapa kanak-kanak terbabit, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, masing-masing berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan PJU Damansara Damai, Petaling Jaya, pada jam 12 tengah hari, pada 5 Disember 2023 hingga keesokannnya pada jam 9.55 malam.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

