SEORANG pemandu tular selepas main kejar-kejar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan sebelum melompat keluar dari lori dipandu lalu merempuh pagar sebuah rumah penduduk didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini.
Majistret Dr Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Muhammad Zulhairul Idham Zulkamal, 27, selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Tertuduh telah memberi alasan terhadap tindakan lari dari pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana tidak mempunyai Lesen CDL (Lesen Memandu Kompeten) dan GDL (Lesen Memandu Barangan), lapor Buletin TV3.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Zulhairul telah didakwa secara sukarela menghalang Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan, iaitu Mohd Ridzuan Mustaza, 40, dalam menjalankan fungsi jawatannya.
Kesalahan itu dilakukan di susur keluar Lebuh Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (SPA) menghala ke Lebuh Ayer Keroh kira-kira pukul 4.30 petang, 19 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes pada tarikh dan masa kejadian pengadu pegawai JPJ sedang membuat penugasan Ops Perdagangan di sekitar Melaka dan cuba menahan lori dipandu seorang lelaki Melayu.
Pengadu sudah memberi arahan berhenti yang jelas dengan memasang lampu mata arah, siren dan pembesar suara, namun suspek tidak mengendahkannya dan terus memecut laju ke arah Plaza Tol secara melawan arus dan berbahaya.
Pengadu mengekori dan meminta bantuan polis sebelum lori terbabit memasuki lori KJ51 Taman Krubong Jaya dan merempuh garaj sebuah rumah hingga rosak.
Suspek bertindak melarikan diri dan berjaya ditahan dengan bantuan penduduk taman dan diserah kepada polis.
Dalam prosiding itu, Zulhairul turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu memberikan diri sendiri dadah jenis methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah pada 19 Februari lalu, kira-kira jam 10.15 malam.
Mahkamah menetapkan 23 April hadapan bagi sebutan semula kes dan mendapatkan laporan patalogi.
Majistret menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal bayar bagi kesalahan menghalang tugas penjawat awam.
Bagi kesalahan dadah, mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.
UtusanTV sebelum ini melaporkan, seorang lelaki nekad melompat keluar dari lori lima tan yang dipandu sebelum merempuh sebuah rumah selepas diekori anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejauh 25 kilometer di Jalan KJ51, Taman Krubong Jaya.
Insiden tersebut mengakibatkan kerosakan pada pagar, tembok rumah dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton yang rosak akibat dirempuh.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

