Mak cik penjual kuih curi RM2,500 di majlis kahwin dipenjara 24 bulan

Dari Penulis

SEORANG penjual kuih warga emas hampir pengsan di Mahkamah Majistret Pasir Mas hari ini, selepas dijatuhi hukuman penjara selama 24 bulan dan denda RM3,000 kerana mencuri.

Tertuduh, Tuan Maimun Che Tuan, 61, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi atas pertuduhan mencuri dalam bangunan hingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM2,500 pada 1 Februari lalu, lapor Buletin TV3.

Susulan itu, sidang mahkamah terpaksa ditangguhkan selama 10 minit bagi memberi ruang kepada tertuduh kembali tenang.

Mengikut pertuduhan, Tuan Maimun didakwa melakukan curi dalam bangunan iaitu wang RM2,500 milik Norhayati Mohd Noor di Kampung Tasek Berangan di Pasir Mas, pada 12.42 tengah hari, 1 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya hendaklah dihukum penjara dan didenda atau sebat.

Tertuduh sebelum ini mempunyai dua rekod sabitan lampau di bawah seksyen 380 kanun sama iaitu di Bachok dan Besut, Terengganu serta sudah menjalani hukuman penjara.

Mengikut fakta kes, mangsa menghadiri kenduri kahwin anak saudaranya jam 11.30 pagi pada 1 Februari lalu dan meletakkan beg tangan di atas almari bahagian dapur.

Apabila mahu pulang, mangsa mendapati beg tangannya yang mengandungi wang RM2,500 hilang.

Mangsa memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang wanita iaitu tertuduh mengambil beg tangan yang diletakkan di atas almari.

Tertuduh mengambil wang RM2,500 dan meninggalkan beg tangan di atas almari pinggan mangkuk berhampiran tandas di dapur.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pasir Mas dan tertuduh ditangkap kira-kira 2.35 petang pada 16 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaaan (YBGK), Nur Amira Mat.

Nur Amira memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum kepada wanita itu kerana dia seorang warga emas dan mempunyai penyakit darah tinggi, kolesterol dan masalah usus.

Walau bagaimanapun, Syazalia memohon hukuman berat kerana tertuduh mencuri harta milik mangsa sebanyak RM2,500.

“Tertuduh juga mempunyai rekod kesalahan lampau dan tidak insaf, selain mengambil kira hukuman untuk pengajaran dan kepentingan awam,” katanya.

Sebelum menjatuhkan hukuman Mohd Fauzan berkata, kes wanita itu mendapat perhatian umum.

“Justeru, mahkamah mengambil kira pelbagai faktor untuk menjatuhkan hukuman iaitu kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kenyataan MB Johor mengenai DAP: ‘Tak perlu mana-mana pihak terlalu melatah’

MANA-MANA pihak diingatkan tidak perlu terlalu melatah atau keterlaluan dalam mengkritik kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi...

More Articles Like This