Sang pelangi yang membawa naga, raja muda dan batil emas

Dari Penulis

SEWAKTU hujan tak jadi dan awan mendung berarak pergi, orang kampung kami akan keluar beramai-ramai menjelang senjakala untuk melihat fenomena menakjubkan, sang pelangi yang sedang merentangi desa kami dan berakhir di sebuah tasik berhampiran.

Jika sang pelangi muncul, penduduk desa kami tahu ini bermakna hujan pasti tidak turun dan masa yang tepat untuk melihat keajaiban alam.

Kami berduyun-duyun keluar dari rumah masing-masing mendongak ke langit sambil tersenyum melihat sang pelangi yang tampil dengan segala kehebatan dan kekuasaannya.

“Hah! Naga tu dah turun, tengah minum air tasik,” kata seseorang dengan begitu yakin.

Si polan itu memberitahu, pelangi yang melengkung itu sebenarnya seekor naga yang sedang mendarat untuk meminum air tasik.

Melalui hujung kepala naga berkenaan kononnya akan menjelmalah seorang raja muda yang kacak bersama sebiji batil emas. Kononnya, batil ialah sejenis bejana emas yang menjadi kegunaan sang raja itu.

“Kalau sesiapa berani dan bertuah, dapat curi batil emas itu boleh jadi kaya raya,” kata orang berkenaan.

Ada penduduk yang mengaku pernah mengintai kepala sang naga itu sedang meminum air di tasik berkenaan tetapi sepantas kilat raja segala naga yang sedang turun minum itu terus ghaib.

Di tengah-tengah keriuhan orang ramai melihat pelangi, tiba-tiba seorang nenek mengherdik seorang budak yang sedang menuding jarinya ke arah langit.

“His jangan tunjuk, nanti kudung tangan,” beritahu seorang nenek yang sedang menggendong cucunya. Budak kecil itu terpinga-pinga.

Sebelum ini, sudah kerap saya mendengar cerita sedemikian. Malah sudah berpuluh kali jari telunjuk kami menuding ke arah pelangi yang merentangi antara kampung kami dan tasik luas itu tetapi tidak pula kudung!

“Betul ke cerita tu?” soal saya pada nenek yang turut mendongak ke langit.

“His mengarutlah,” kata nenek perlahan.

Kalau mengarut mengapa ada yang menegah kanak-kanak menunjukkan jari ke arah pelangi, kononnya nanti akan menjadi kudung secara tiba-tiba.

“Cerita dongeng tu, tak payah percaya,” kata nenek.

Cerita tentang naga turun meminum air di sebuah tasik di belakang rumah kami rupanya adalah cerita rekaan semata-mata. Kata nenek, tiada siapa yang waras patut percaya cerita sedemikian rupa.

Nenek sekalipun tidak pernah melarang kami menunjukkan tangan ke arah pelangi yang sedang merentangi kampung kami sebab dengan hanya berbuat begitu tangan tidak akan menjadi kontot secara tiba-tiba.

“Cerita tak masuk akal,” kata nenek mencebik mukanya.

Sejak hari itu, kami tidak percaya lagi cerita bohong tentang sang naga menjelma dengan batil emas dan kesalahan menuding jari ke arah pelangi walaupun ada rakan sebaya tidak berani menuding jari ke arah pelangi yang cantik itu.

SEBENARNYA, setiap kali kami terpegun melihat sang pelangi bersama orang kampung, saya sering tertanya-tanya apakah yang ada di sebalik keindahan pelangi itu?

Ya, jika sang burung terbang bersama kawanan dan berhijrah menuju ke arah gunung ganang itu tentu ada penghidupan yang lebih baik dicari di sana.

Apa yang ada di sebalik gunung ganang yang menghijau dan membiru itu? Apakah ada kehidupan lain di sebalik dunia terindah nun di kejauhan?

Saya cuba membayangkan tentu ada kehidupan lain yang menyeronokkan? Mungkin ada manusia lain yang lebih maju, lebih hebat daripada kami yang tinggal di desa terpencil ini, pada era 1960-an itu.

Saya membayangkan, alangkah indahnya kalau suatu hari nanti jika saya dapat berhijrah ke sebuah ‘dunia lain’ yang lebih maju, indah, cantik dan menyeronokkan berbanding tinggal di desa terpencil ini yang sunyi sepi dan hanya kedengaran bunyi cengkerik di kejauhan malam.

Kata nenek, ada suatu tempat rahsia yang jauh nun bernama ‘Bukit Qaf’. Nenek memuncungkan mulutnya. Menurut nenek, Bukit Qaf ialah sebuah tempat rahsia, yang tidak dapat kita rentas kecuali dengan kekuasaan Tuhan.

Kononnya, tiada makhluk manusia yang pernah sampai ke Bukit Qaf, kecuali ‘manusia terpilih’, demikian cerita nenek. Bukit Qaf seperti diceritakan nenek itu tidak terjangkau dek akal saya.

Kalaupun saya bukan manusia pilihan yang dapat sampai ke Bukit Qaf itu, dapat sampai ke sebuah kota yang serba maju dan hebat dalam serba serbi sudah memadai. Itu harapan dan impian saya.

Nenek memberitahu memang ada kehidupan yang lebih indah, lebih moden dari desa kami. Lalu nenek bercerita tentang seorang lelaki dari Melaka yang pernah mengahwininya.

Dulu… nenek pernah berkahwin dengan seorang lelaki yang berasal dari Kampung Bunga Raya di Melaka yang berhijrah ke kampung kami di Kampung Burau, di Pahang.

Selepas itu, lelaki bernama Haji Mohd. Noor itu telah membawa nenek melihat keindahan di negeri kelahirannya yang lebih maju dari kampung kami.

Lalu nenek telah dipertemukan dengan adik lelaki itu Haji Said dan kaum keluarga terdekatnya. Kata nenek, Melaka sudah maju berbanding kampung kami atau bandar Jerantut, Pekan Kuala Krau atau Temerloh.

Di Melaka, banyak terdapat beca beroda tiga, kapal di lautan, bas, kereta, ada tugu, ada meriam, ada bangunan kolonial, tinggalan sang penjajah Belanda, Portugis dan Inggeris yang jauh lebih maju.

Apa yang diceritakan nenek sama seperti terdapat dalam buku teks sejarah yang pernah saya baca di sekolah rendah tentang penjajah di Tanah Melayu.

Ya, desa kami amat daif, hanya ada bot, perahu, basikal, rakit buluh, Sungai Pahang, tasik dan tinggalan sejarah di Lubuk Pelang.

Akhir sekali nenek bercerita, lelaki penyayang yang mencintainya itu tiba-tiba menghilangkan diri entah ke mana. Puas dicari tidak ketemui sehinggalah dia sendiri terpaksa menggalas tanggungjawab membesarkan anak-anaknya termasuk ibu yang ditinggalkan terkontang-kanting itu.

Cerita nenek berakhir di situ sambil kelopak matanya bergenang. Memang mengharukan mendengar cerita nenek.

“Nanti bila dah besar, pergilah cari warisan Haji Mat Noor yang hilang itu di Melaka,” pesan nenek menutup ceritanya.

Saya pula tidak dapat membayangkan di mana Melaka. Hidup saya hanya terkurung antara hutan, lembah, paya, bukit bukau dan Sungai Pahang yang aman permai.

Hanya sekali-sekala, saya dibawa ayah berjalan ke pekan terdekat, Pekan Kuala Krau atau bandar Jerantut sebulan atau setahun sekali.

Hiburan kami hanyalah, melihat pelangi cantik yang melengkung muncul di dada langit tatkala hujan tak jadi. Itulah hiburan yang tiada tolok bandingnya.

Jika sebaliknya, pelangi tak muncul dan hujan turun dengan lebatnya, hiburan saya ialah bermain hujan sambil mengejar itik serati yang suka berenang dan menyudu di lopak air di hadapan rumah.

Malangnya, semasa mengejar itik itu, saya kerap bertembung dengan dua ekor angsa ganas yang selalu hendak memanggang anu saya.

Lalu, saya pun berlari sekuat hati, meminta tolong. Ibu yang terjegil di muka pintu mengambil penyapu dan menghalau angsa ganas itu dari menggigit saya.

Itik, angsa garang, air hujan dan pelangi itulah dunia saya di desa terpencil yang masih diselubungi hutan tebal dan khazanah alam yang belum terusik dek pembangunan tatkala di zaman kanak-kanak. – Sahidan Jaafar

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Saya bukan main jin!” Tok Dewata bongkar rahsia seni persembahan ‘Main Teri’

Nama Tok Dewata kembali menjadi bualan hangat apabila seni persembahan Main Teri yang melibatkan beliau tular di media sosial.  Namun...

More Articles Like This