PROGRAM Latihan Kemahiran dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang 5G Wireless terus mendapat sambutan sebagai platform terbaik melahirkan tenaga mahir dalam industri telekomunikasi yang berkembang pesat.
Dengan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja berkemahiran dalam teknologi 5G, program tersebut menawarkan latihan intensif yang menekankan aspek praktikal.
Salah seorang pelatih program TVET Inisiatif HRD Corp – CENTEXS, Ahmad Izman Ahmad Radzi, 28, berkata program berkenaan membantunya menambah kemahiran dan meningkatkan kebolehpasaran diri.
“Latihan ini sangat praktikal dan membantu saya memahami teknologi 5G dengan lebih mendalam,” katanya.
Seorang lagi pelatih, Sree Aran Subramaniam memaklumkan pembelajaran berasaskan amali lebih efektif dalam memahami aplikasi teknologi 5G.
“Pada mulanya, saya agak sukar memahami aspek teknikal, tetapi dengan bimbingan tenaga pengajar dan latihan praktikal yang berterusan, saya semakin yakin.
“Saya sukakan sesi latihan yang memberi lebih banyak peluang kepada amali berbanding teori semata-mata. Ini membantu saya memahami bagaimana teknologi ini diaplikasikan dalam industri sebenar,” ujarnya.
Salah seorang tenaga pengajar, Wan Balkis Wan Mohd Suhaimi pula menjelaskan pendekatan pembelajaran yang digunakan adalah berorientasikan industri.
“Kami memastikan pelatih bukan sahaja memahami teori, tetapi juga mahir dalam menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi dalam operasi rangkaian 5G,” katanya.
Baca artikel lain: TVET pertanian tidak dipinggir, kerajaan jamin tingkat usaha pemerkasaan – Ahmad Zahid
Selain itu, CENTEXS memainkan peranan besar dalam kejayaan program itu sebagai pusat latihan yang terkenal dalam bidang teknologi 5G.
Bertempat di Santubong, Petra Jaya, Sarawak, CENTEXS telah melahirkan ramai tenaga kerja mahir yang kini berkhidmat dalam sektor telekomunikasi dan teknologi digital.
Program ini bukan sahaja memberi pelatih kelebihan dari segi kemahiran teknikal, tetapi juga membuka peluang kepada mereka untuk bekerjasama dengan syarikat industri melalui projek inovatif. Ini membolehkan mereka mendapat pengalaman dunia sebenar sebelum tamat latihan.
Dalam masa beberapa tahun, industri telekomunikasi dijangka berkembang pesat dengan penerapan teknologi 5G dalam pelbagai sektor seperti automasi, kecerdasan buatan (AI), dan Internet of Things (IoT).
Oleh itu, latihan seperti ini menjadi semakin penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi global.
Mengulas lanjut, Wan Balkis menegaskan program itu bukan sahaja melatih pelatih untuk keperluan pekerjaan masa kini, tetapi juga menyediakan mereka untuk permintaan industri pada masa hadapan.
“Kami mahu mereka bukan sekadar menjadi pekerja biasa, tetapi juga tenaga mahir yang mampu berkembang dalam industri ini,” katanya.
Pada masa sama, Wan Balkis turut menasihatkan pelatih agar sentiasa mengambil peluang untuk belajar dan mengembangkan kemahiran mereka.
“Jangan takut untuk mencuba perkara baru. Dunia teknologi sentiasa berubah, dan mereka yang bersedia untuk beradaptasi akan mempunyai kelebihan dalam industri ini,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

