ISU penyeludupan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste), lonjakan harga produk berasaskan kelapa dan sistem penanaman padi perennial antara tumpuan hari terakhir persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) akan mengajukan soalan pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri berhubung tindakan tegas membanteras penyeludupan e-waste susulan serbuan besar-besaran terhadap kilang haram memproses sisa elektronik di beberapa negeri baru-baru ini.
Isu berkaitan lonjakan harga produk berasaskan kelapa terutama santan yang boleh menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan dan nilai berteraskan kelapa disebabkan beberapa faktor seperti kekurangan bekalan kelapa tempatan akan dibangkitkan Rodziah Ismail (PH-Ampang) pada sesi sama.
Baca artikel lain: Dasar projek ladang solar, infrastruktur nuklear tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini
Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) pula akan meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan dasar menyokong peralihan kepada sistem penanaman padi perennial bagi meningkatkan keterjaminan makanan negara.
Usai sesi berkenaan, persidangan akan diteruskan dengan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025, selain menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025.
Persidangan juga akan menyaksikan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025, Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024.
–BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

