KERAJAAN menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil langkah intervensi berhubung situasi gangguan bekalan minyak masak sawit tulen kemasan botol di pasaran.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, antara langkah intervensi serta merta adalah mempertimbangkan pemberian insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol.
Jelas beliau, langkah itu untuk memastikan mereka mengeluarkan bekalan minyak segera untuk pasaran.
Armizan berkata, sehubungan itu, KPDN diarahkan untuk menyusul keputusan tersebut dengan mengarahkan syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol mengembalikan pengeluaran pada kadar yang mencukupi untuk keperluan semasa.
“Pada masa yang sama, KPDN sedang mempertingkatkan penguatkuasaan untuk memastikan tidak ada aktiviti penyorokan dan penyelewengan semua jenis bekalan minyak masak.
“KPDN akan memastikan arahan dan keputusan hari ini dilaksanakan untuk memastikan syarikat terlibat mula meningkatkan semula kadar proses pengeluaran minyak kemasan botol masing-masing secara serta merta untuk membolehkan kembali stabil segera dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini selepas memberikan taklimat khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung situasi gangguan bekalan minyak masak sawit tulen kemasan botol di pasaran.
Turut hadir dalam taklimat khas tersebut ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, antara punca utama berlakunya gangguan bekalan kini adalah disebabkan kenaikan kos pengeluaran berikutan harga minyak sawit mentah dunia (CPO) di pasaran telah meningkat tinggi sejak dua tahun lalu.
Menurut Armizan, bagi dua bulan pertama 2025 harga purata CPO adalah RM4,672.50 pada Januari dan RM4,759.00 pada bulan Februari.
Katanya, susulan daripada kesan harga tinggi CPO yang berlarutan, syarikat pembungkus minyak masak botol terpaksa mengambil pendekatan mengurangkan pengeluaran untuk mengawal kos pengeluaran kerana terikat dengan perintah penjualan harga kawalan maksimum minyak kemasan botol yang berkuatkuasa.
“Sebagai contoh, perintah tersebut mewajibkan penjualan pada peringkat runcit minyak kemasan botol 5 kilogram adalah pada kadar RM30.90 berbanding harga pasaran berdasarkan kadar CPO dunia iaitu RM36.16.
“KPDN amat menghargai keprihatinan dan keputusan segera Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan yang mempertimbangkan serta merta peruntukan insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol untuk memastikan rakyat mendapat bekalan minyak masak kemasan botol yang stabil di pasaran khususnya sepanjang bulan Ramadan dan bulan Syawal,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

