KERAJAAN MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bersikap adil dan tegas dalam memelihara keharmonian masyarakat, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin dalam kenyataan hari ini berkata, kegagalan bertindak tegas, adil dan segera terhadap pelanggarannya oleh mana-mana pihak, terutama yang melibatkan kepentingan serta sudut pandang sah orang lain hanya akan mengundang respons buruk daripada kelompok yang terkesan.
Beliau juga mengulangi gesaan Pas berhubung ketegasan kerajaan dalam mengawal dan mengurus tindak-tanduk anggotanya sendiri seperti yang berlaku mutakhir ini.
“Pas berasa perlu untuk mengulangi gesaan yang pernah dibuat sebelum ini berhubung ketegasan kerajaan dalam mengawal dan mengurus tindak-tanduk anggotanya sendiri yang dilihat mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bidang kuasa dan tugas pihak-pihak berkuasa Islam mahupun kepentingan sah umat Islam yang jelas telah dan akan terus menyumbang kepada konflik, ketegangan dan suasana tidak harmoni, termasuk antara parti-parti komponen kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai penegasan Perdana Menteri mengenai kepentingan dan tanggungjawab semua pihak untuk memelihara keharmonian dan hubungan baik antara kaum-kaum dalam negara.
Takiyuddin berkata, Pas menyambut baik penegasan Perdana Menteri yang antara lain dilaporkan berkata, perbuatan mempergunakan isu-isu berkait agama dan kaum untuk kepentingan peribadi berpotensi merosakkan hubungan itu dan perlu dihindari.
“Pas mengalu-alukan pendirian kerajaan berhubung kedudukan Islam sebagai agama persekutuan yang mesti dimartabatkan, selain keperluan semua pihak “tidak melanggar jalur, peraturan dan hukum” berkait agama dan kaum.
“Penegasan ini adalah selari dengan dasar PAS sejak sekian lama berhubung kepentingan dan keutamaan sikap saling menghormati, memahami dan menghargai sebagai identiti teras masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
“Bagi PAS sikap tersebut bukanlah sekadar nilai atau idealisme yang dirujuk pada masa-masa tertentu, tetapi merupakan cara hidup dan cara berfikir kebangsaan yang wajib menjadi amalan dalam semua keadaan dan pada setiap ketika,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

