PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menepis dakwaan beberapa pihak yang memainkan isu terkait Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dengan menyifatkan ia tidak akan memaksa mana-mana pemilik rumah atau tanah untuk diusir.
Dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Anwar menegaskan undang-undang yang bakal dibawa ke Parlimen kelak itu juga tidak akan mengubah peratusan pemilikian bumiputera di sesuatu kawasan.
Pada masa sama, kata beliau, Perdana Menteri menegaskan Akta PSB itu juga tidak akan mengubah komposisi etnik sesebuah kawasan.
“Justeru tidak timbul isu Melayu bumiputera dipinggirkan daripada arus kemajuan bandar.
“Matlamat utama (Akta PSB) adalah bagi memastikan peningkatan kualiti hidup masyarakat bandar sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat Melayu itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia.
Sebelum ini, Anwar mempertahankan tindakan kerajaan mahu menggubal Akta PSB yang bertujuan memberi manfaat kepada pemilik asal.
Beliau dilaporkan berkata, status tanah berkenaan juga tidak akan berubah sama ada ia dimiliki individu perseorangan, milik kerajaan negeri atau di kawasan rizab Melayu.
Baca artikel lain: Laungan azan Masjid Kampung Ayer Kuning: PM nasihat jangan mudah terpengaruh fitnah tak ada asas
Jelasnya, tindakan pihak yang menentang kerajaan menggubal akta berkenaan seolah-olah mahu masyarakat Melayu di bandar kekal hidup dalam kemiskinan dan kesusahan.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media hari ini mendakwa sukar mempercayai kata-kata Anwar bahawa Akta PSB tidak akan menjejaskan nasib orang Melayu di kawasan bandar.
Dr Mahathir dilapor berkata, jika isu tanah Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur pun gagal diselesaikan oleh kerajaan, bagaimana Anwar ingin memberi jaminan nasib orang Melayu tetap dibela.
Menurut Dr Mahathir, Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein, mahukan agar setiap bandar di Malaysia dipenuhi oleh semua kaum dan bukan didominasi oleh ras tertentu saja.
Melalui Akta PSB itu nanti, dakwa bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, cuma orang yang kaya dan peniaga sahaja mampu tinggal di kawasan bandar, sedangkan Melayu tidak dapat dipastikan keberadaannya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

