PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengingatkan semua pihak supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan fitnah yang tidak ada asas sama sekali.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
Mengambil contoh terbaharu, Tunku Nashrul menyifatkan hantaran di laman sosial dibuat seorang individu berhubung laungan azan di Masjid Kampung Ayer Kuning, Taiping merupakan naratif fitnah usang dan jahat yang bertujuan menimbulkan kegusaran awam.
Menurut beliau, naratif seperti itu juga akan muncul setiap kali tibanya musim pilihan raya.
“Budaya seperti ini harus dinoktahkan segera bagi mengelak kesan buruk kepada masyarakat dan negara.
“Masyarakat juga digesa untuk tidak terus terpedaya dan terpengaruh dengan fitnah begitu yang mana madrasah Ramadan menyeru umat untuk mengangkat budaya berfikir dan menolak sebarang kegiatan yang memecah belah umat termasuk gejala fitnah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat tersebut yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia.
Baca artikel lain: PM arah PETRA kemuka cadangan cara memanfaatkan air hujan
Terdahulu, tular mengenai hantaran seorang individu kononnya Masjid Bestari Kampung Ayer Kuning di Taiping tidak boleh lagi melaungkan azan menggunakan pembesar suara luar masjid dan hanya boleh menggunakan pembesar suara di dalam, lalu mengaitkan ia dengan isu 3R (agama, raja, kaum) serta politik kepartian.
Turut ditularkan kononnya tindakan masjid melaungkan azan hanya menggunakan pembesar suara dalaman masjid disebabkan aduan penduduk sekitar yang berasa terganggu dengan laungan azan disifatkan agak nyaring atau kuat.
Bagaimanapun, media melaporkan laungan azan yang dikumandangkan di masjid itu tidak didengari ahli kariahnya berpunca daripada masalah sistem siar raya masjid berkenaan yang berlaku sejak beberapa hari lalu yang sehingga kini masih dalam proses pembaikan.
Pengerusi Masjid Kampung Ayer Kuning, Abu Bakar Che Ros dilaporkan berkata, situasi laungan azan tidak didengari ahli kariah itu bukan berpunca daripada tekanan mana-mana pihak termasuk berunsur politik kepartian.
Beliau berkata, laungan azan termasuk Maghrib yang menandakan waktu berbuka puasa, tidak didengari penduduk sekitar disebabkan penggunaan pembesar suara atau ‘speaker’ bahagian dalam masjid sahaja, berbanding pembesar suara di bahagian luar yang mengalami masalah teknikal.
“Tiada kena mengena langsung dengan tekanan pihak tertentu termasuk mengaitkan ia dengan politik. Saya maklum ada mengaitkan situasi ini dengan politik memandangkan kariah Masjid Ayer Kuning ini namanya sama dengan Ayer Kuning di Tapah yang akan menghadapi pilihan raya kecil,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

