
BAGI memudahkan pembaca faham, saya jelaskan maksud tajuk rencana saya minggu ini iaitu Guruh Di Langit, Kemarau Di Bumi. Ia memaparkan satu keadaan serentak yang menggambarkan cerita di atas berdegar-degar macam cantik, sedangkan realiti di bawah keadaan semakin perit.
Itulah kebimbangan dan keresahan rakyat yang menghadapi masa depan dalam keadaan tertanya-tanya, sebenarnya ke manakah kita? Apakah kita mampu dan benar-benar bersedia menghadapi cabaran mendatang yang semakin kompleks?
Orang politik khususnya yang bergelar pemerintah akan cuba sedaya upaya meyakinkan rakyat dengan keupayaan mereka memerintah dan mentadbir negara kerana selagi boleh mereka mahu terus berkuasa. Ia adalah lumrah manusia khususnya mereka yang disebut oleh Barat sebagai ‘Political Animal’ yang kadang-kadang nafsunya amat buas dan luar biasa.
Namun begitu dalam mana-mana negara, rakyat tidak akan begitu kisah tentang janji orang politik termasuk yang memerintah jika mereka berasa sejahtera dengan kehidupan, khususnya mempunyai keperluan asas yang cukup, pendapatan yang selesa serta kerjaya yang memberi kepuasan.
Bagaimanapun apabila bila wujudnya tekanan hidup terutama dalam hal berkaitan kesan ekonomi, kepercayaan rakyat kepada tutur kata pemimpin mula dipertikaikan terutama pada zaman media sosial yang memberi banyak kebebasan dan ruang untuk bersuara.
Keresahan rakyat ini yang seolah-olah tidak percaya dengan ayat, angka, data dan janji-syurga serta bulan bintang adalah berpunca daripada suasana di peringkat akar umbi yang tidak mencerminkan situasi sebenar gebang pemimpin di atas. Akhirnya, situasi guruh di langit ini dilihat sebagai propaganda yang mahu mengaburi atau mengalih perhatian rakyat. Apatah lagi dalam era teknologi komunikasi canggih ini tidak susah untuk rakyat membuat penilaian sebenar.
Kesempatan berada dalam gerak kerja pembangunan wilayah, sekuriti makanan, pembangunan usahawan, pembasmian kemiskinan dan pendidikan TVET membolehkan saya bergaul dengan semua kelompok masyarakat iaitu daripada golongan miskin hinggalah golongan maha kaya untuk mendengar maklum balas dan pandangan mereka mengenai situasi negara sekarang khususnya bidang ekonomi dan sosial.
Beberapa situasi yang saya kumpulkan adalah gambaran sebenar kesan ekonomi dan sosial dirasai rakyat hasil gebang pemimpin yang cuba memperlihatkan inisiatif kononnya telah mereka lakukan dan digembar-gemburkan sebagai berjaya khususnya dalam ekonomi dan sosial sejak memerintah:
Dalam kelompok usahawan, saya bertuah kerana berpeluang membincangkan isu-isu ekonomi dalam kalangan persatuan-persatuan atau dewan-dewan perniagaan semua kaum hampir setiap hari.
Antara paling menarik perhatian saya ialah keluhan pengeluar dan pengilang Malaysia yang tertekan dengan tindakan kerajaan yang didakwa mengenakan sembilan cukai baru pada tahun ini sahaja dan menaikkan kadar tarif pengendalian kontena di pelabuhan sebanyak 30 peratus. Malah mereka juga mendakwa akan berlaku kenaikan sehingga ke tahap 536 peratus secara berperingkat-peringkat.
Ayat-ayat persatuan terkemuka ini sudah sampai ke tahap bengang dan menyindir kerana kecewa dengan tindakan kerajaan. Justeru mereka secara terbuka menasihati kerajaan supaya mencari alternatif lain sebagai sumber pendapatan negara.
Ia kerana sebarang kenaikan cukai atau tarif akan menyebabkan pengusaha dan pengeluar tidak ada pilihan lain selain memindahkan kos kenaikan tersebut kepada pengguna. Keadaan itu akan menyebabkan barang akan menjadi bertambah mahal dan beban kepada rakyat semakin meningkat.
Saya juga sering berdiskusi dengan sahabat-sahabat yang merupakan senior dan otai dalam pasaran saham dan ekonomi. Ada antara mereka yang mempunyai platform media sosial sendiri yang membincangkan situasi pasaran saham dalam negara dan antarabangsa.
Sebagai penganalisis, mereka turut melihat kesan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China termasuk dasar-dasar Pesiden Donald Trump yang akan turut memberi kesan besar kepada ekonomi Malaysia.
Namun persoalan mereka adakah kita benar-benar bersedia dan mempunyai fokus kepada pengisian menangani kesan buruk situasi kemelesetan ekonomi dunia yang semakin rencam? Sahabat-sahabat penganalisis ini sudah berani berpendapat bahawa Malaysia masih dibuai dengan kelekaan berpolitik mengatasi kepentingan negara.
Ketika memantau kumpulan usahawan yang saya bangunkan, saya berkesempatan untuk bertanya mereka, bagaimanakah kuasa beli rakyat ketika ini terutama di bulan Ramadan kali ini?
Saya bawa bersama pegawai-pegawai tinggi dari Putrajaya untuk turun padang mendengar sendiri maklum balas di lapangan. Rata-rata memberitahu bahawa pendapatan mereka semakin berkurangan tahun ini berbanding tahun lalu, hingga ke paras 50 peratus akibat kuasa beli yang menurun dan jumlah penjual (saingan) yang semakin ramai dan meningkat.
Lebih membebankan ialah kos bahan mentah yang semakin menggila harganya sehingga mengakibatkan margin keuntungan semakin mengecil (tidak berbaloi).
Tidak ketinggalan, saya bertanya kepada pengusaha kedai gunting rambut yang merupakan usahawan-usahawan graduan TVET saya juga. Dikatakan pendapatan mereka jatuh hingga 40 peratus sejak 4 bulan lalu. Usahawan-usahawan ini melaporkan bahawa trend menggunting dan mendandan rambut berkurangan daripada dua kali sebulan kepada satu atau dua bulan sekali.
Dalam konteks reformasi perkhidmatan awam, kes nelayan kelas B di Perak yang berdepan dengan kegagalan jentera kerajaan seperti Jabatan Perikanan Malaysia untuk menangani segera isu tersebut yang sudah berlarutan sejak Julai tahun lalu.
Dijangka jumlah bot yang terjejas boleh mencapai lebih 300 buah dengan nilai tangkapan boleh mencecah RM21 juta sebulan. Kesan domino bukan sahaja kepada nelayan tetapi juga gangguan bekalan ikan laut tempatan yang pastinya akan mengakibatkan harga akan melambung.
Walaupun ada campur tangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berdialog dengan persatuan nelayan di Bagan Datuk baru-baru ini, namun ia mengecewakan para nelayan kerana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meminta masa hingga 3 bulan lagi untuk membuat keputusan baru.
Hampir setiap hari wakil persatuan nelayan menghubungi saya merasakan cemas untuk menunggu keputusan baru itu, selain anak isteri keluarga nelayan yang terhimpit dengan masalah pendapatan keluarga. Kerenah birokrasi yang menggila ini mewujudkan persoakan apakah kerajaan sudah terperangkap dengan retorik tatakelola?
Dalam hal sosial pula, isu ketegangan kaum dan agama juga menjadi semakin panas setiap hari dan ia sangat bahaya untuk dibiarkan dalam konteks Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan kaum.
Ketika pemimpin politik memberi jaminan untuk bertegas menanganinya, orang politik juga kadang kala menunggang isu tersebut untuk menjadikannya lebih panas. Malah, secara sedar atau tidak, ia juga meledak apabila pemimpin sendiri secara sengaja ‘melontarkan bom’ sesuatu isu sehingga mengundang kepada polemik yang akhirnya mencetuskan perbalahan dan keresahan. Hakikatnya, tindakan sedemikian tidak perlu dilakukan demi menjaga keharmonian semua pihak.
Begitu juga modal politik tradisional bersifat ‘anti Malaya’ yang sering berkumandang di Sabah dan Sarawak. Ia juga semakin berleluasa akibat kegagalan dasar melaksanakan gerak kerja perpaduan dan integrasi nasional yang meresapi semangat penubuhan Malaysia secara konsisten sejak sekian lama.
Tidak ketinggalan isu yang dekat di hati saya ialah pendidikan terutama bidang TVET. Selama ini, saya konsisten mengatakan satu bentuk revolusi dalam sistem pendidikan kita perlu dilaksanakan segera kerana ini merupakan kunci kejayaan negara pada masa depan. Kegagalan sistem pendidikan yang cacamarba dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini telah memberi kesan kepada kemajuan ekonomi, pelaburan baru dan kualiti tenaga kerja hari ini.
Kajian firma antarabangsa iaitu PricewaterhouseCoopers (PwC) baru-baru ini mengenai Cabaran Firma Perniagaan Di Malaysia, kebanyakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat meletakkan kepayahan mendapatkan tenaga kerja berkemahiran (skilled workers) sebagai cabaran paling utama.
Kesukaran itu berlaku akibat kegagalan graduan menepati kehendak majikan dan kemahiran industri yang pantas berubah mengikut keperluan semasa. Ini memberi kesan kepada peluang pekerjaan dan kadar upah yang masih rendah hingga mengakibatkan 1.8 juta tenaga kerja Malaysia sudah berhijrah ke luar negara sejak lima dekad lalu iaitu pada kadar 5.6 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia -melebihi sasaran migrasi pekerja global sesebuah negara yang sepatutnya iaitu 3.6 peratus.
Sebenarnya, banyak lagi dapatan dan isu sebenar yang boleh dilaporkan di sini yang tidak boleh dinafikan sebagai salah satu indikator tahap dan kadar pembangunan serta kemajuan negara.
Situasi sebenar adalah memperlihatkan seolah-olah perjalanan negara kita ibarat kapal yang sedang dikendalikan oleh seorang nakhoda yang tahu bahawa kapal semakin rosak dan bocor di sana sini.
Penumpang-penumpangnya menjerit-jerit memberitahu kebocoran dan kerosakan yang sedang berlaku. Kelasi-kelasinya pula terpaksa bertungkus lumus menampal kebocoran walaupun hakikatnya mereka juga tahu bahawa kapal hendak karam. Atas nama ego, nakhoda terus mengemudi kapal walaupun dia lebih tahu bahawa akan tiba masanya, dia akan tenggelam bersama kapalnya. Kalau ditakdirkan selamat pun adalah nasib sahaja.
Di darat pula, rakyat seperti mengharap guruh di langit yang bunyinya gegak gempita seolah-olah akan hujan kerana bumi semakin kering-kontang tapi hakikatnya, masih tiada hujan dan bumi semakin kemarau. Menderitalah manusia atas bumi itu.
Akhirnya, penulis akan mendengar suara-suara rakyat kesemuanya yang selalu bertanya: “Ke manakah kita? Bersediakah kita dengan cabaran-cabaran perit yang semakin hari semakin meresahkan?”
Masa untuk kita berfikir dengan berlapang dada. Masa untuk melakukan pembetulan sebenar (correctional process) disertai dengan keihklasan dan kejujuran yang tulus kerana akhirnya kehendak Allah menerusi hukum alam tetap akan tiba. Berdoalah untuk memohon kebaikan demi Malaysia sempena Ramadan ini.
*Penulis adalah Usahawan dan Aktivis Sosial-Ekonomi

