Tampil dengan insiatif tersendiri bagi membantu masyarakat terutamanya asnaf, anak yatim dan ibu tunggal, , syarikat yang terkenal dengan perkhidmatan pembiayaan kenderaan tanpa riba, DMS Motor telah melancarkan program kebajikan Jelajah Ramadan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas DMS Motor, Datuk Salim Rahman berkata, program ini telah dimulakan sebelum Ramadan lagi dengan beberapa aktiviti kebajikan, termasuk sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

“Kami telah memulakan program ini sebelum Ramadan dengan memberikan bantuan kepada asnaf dan golongan yang kurang berkemampuan. Pada Ramadan ini, kami akan melaksanakan lebih banyak program kebajikan,” katanya.
Antara program yang dijalankan termasuk majlis berbuka puasa bersama anak yatim, sumbangan barangan keperluan asas dan bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan.
DMS Motor juga bekerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Pondok Motivasi yang diasaskan oleh Ustaz Ashraf Suarin yang juga penasihat syariah syarikat, untuk memastikan semua program dilaksanakan mengikut syariat Islam.
“Kami ingin memastikan setiap sumbangan yang diberikan membawa keberkatan dan manfaat kepada penerima. Oleh itu, kami bekerjasama rapat dengan Ustaz Ashraf untuk memastikan program ini dilaksanakan dengan betul,” tambahnya.
Tambah Salim, pihaknya telah merancang beberapa program Kebajikan sepanjang bulan Ramadan termasuk Majlis Berbuka Puasa dan Solat Terawih di Pondok Motivasi, Tanjung Karang dan rumah anak yatim, sumbangan barangan keperluan asas kepada keluarga miskin, pemberian baju raya untuk anak yatim dan golongan tahfiz dan juga bantuan kewangan kepada golongan asnaf dan ibu tunggal.
“Kami mensasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 500 orang melalui program ini. Namun, jika ada permintaan tambahan, kami sedia membantu,” katanya.
Dalam memastikan program kebajikan ini dilaksanakan dengan penuh keberkatan, syarikat ini turut bekerjasama rapat dengan Ustaz Ashraf, yang juga penasihat syariah Syarikat dalam memberikan panduan tentang cara terbaik untuk membantu masyarakat tanpa membazir.
“Kami ingin memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan membawa manfaat maksimum kepada penerima. Ustaz Ashraf membantu kami merancang program ini dengan teliti.
“Sebagai contoh, jika sebelum ini kami membelanjakan sejumlah wang untuk membeli barangan untuk didermakan secara pembaziran, namun selepas kehadiran Ustaz Ashraf, kami belajar bagaimana menguruskan kewangan dengan lebih bermanfaat dan berkat,” katanya.
Selain perniagaan, DMS Motor komited untuk terus membantu masyarakat melalui program kebajikan. Syarikat ini percaya bahawa kejayaan perniagaan perlu seiring dengan tanggungjawab sosial.
“Kami bukan sahaja ingin berjaya dalam perniagaan, tetapi juga ingin memberikan impak positif kepada masyarakat.
Program Jelajah Ramadan ini adalah salah satu cara kami untuk memberi kembali kepada masyarakat,” katanya.
Terkenal sebagai sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan pembiayaan kenderaan secara sewa beli bebas riba, DMS Motor turut menawarkan pembiayaan in-house yang memudahkan urusan pembelian kenderaan, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai slip gaji atau rekod kewangan yang tetap.
“Kami membantu mereka yang mungkin sukar mendapatkan pinjaman dari bank. Dengan sistem sewa beli, pelanggan boleh memiliki kenderaan selepas tamat tempoh kontrak tanpa perlu membayar riba,” jelasnya.
Selain itu, DMS Motor juga menyediakan perkhidmatan tambahan seperti bengkel kereta, perkhidmatan towing dan pusat detailing kenderaan.
Syarikat ini baru sahaja membuka bengkel kedua di Bandar Sunway, Selangor, selepas bengkel pertama di Batu Caves.

